PdPR bukan sahaja perlu kreatif, tetapi perlu ada elemen empati
Madiha Abdullah
Januari 31, 2021 16:31 MYT
Januari 31, 2021 16:31 MYT
KUALA LUMPUR: Pengajaran dan pembelajaran di rumah atau PdPR yang dijalankan kini, sememangnya memerlukan guru-guru bereksperimentasi dengan kreativiti masing-masing.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia, Mohd Azizee Hasan berpendapat, dengan manual yang sudah dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), guru-guru kini perlu memasukkan elemen kreatif dan empati dalam mencari kaedah paling sesuai untuk pelajar mereka.
"Paling penting bukan sahaja mencari cara kreatif tetapi juga cara itu perlu sesuai dengan kemampuan dan keupayaan pelajar.
"Ada pelajar yang mempunyai akses internet yang baik dan berada dalam situasi kondusif untuk belajar, tetapi ada juga yang tidak.
"Guru-guru perlu memahami ekosistem pelajar-pelajar mereka. PdPR bukan sahaja secara online tetapi juga boleh dilakukan secara offline dan off site," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Ahad.
Katanya lagi, manual yang disediakan KPM sudah sedia mudah untuk digunakan guru-guru, tetapi dalam masa yang sama, perlu mendapat sokongan ibu bapa.
"Paling penting, guru-guru perlu pastikan aplikasi yang digunakan mudah diakses. Pastikan juga ada komunikasi dengan pelajar dan ibu bapa, raikan juga permintaan dan kemahuan mereka dalam melaksanakan PdPR," ujarnya.
Menyentuh persediaan guru-guru dalam membantu pelajar yang bakal menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azizee berkata, aspek pengurusan emosi adalah paling utama.
"SPM akan menjelma kira-kira 20 hari sahaja lagi. Cabaran paling utama guru-guru ketika ini ialah memberi perhatian kepada emosi para pelajar.
"Tidak boleh dinafikan pembelajaran secara tidak bersemuka sedikit sebanyak mengganggu emosi dan motivasi pelajar.
"Ditambah pula dengan penjadualan peperiksaan yang kerap berubah, ini juga memberi tekanan kepada mereka.
"Guru-guru perlu faham keadaan ini, dan pastikan mereka bersedia dari segi emosi untuk menduduki peperiksaan," katanya.
#Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
#PdPR
#Sijil Pelajaran Malaysia
#SPM
#pelajar
#pendidikan
#Kementerian Pendidikan
#guru