PDP Bersemuka: Pemantuan murid di luar sekolah perlu diberi perhatian - Alimuddin Mohd Dom
Fareez Azman
Februari 3, 2022 19:47 MYT
Februari 3, 2022 19:47 MYT
KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dipatuhi sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka di sekolah dilaksanakan.
Menurut bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, meskipun terdapat kluster berkait pelajar di sekolah ketika ini, beberapa penekanan perlu diambil perhatian terutama bagi ibu bapa dan guru.
"Sejak akhir ini kita dapati jumlah positif COVID-19 agak bertambah di asrama, tetapi ini tidak membimbangkan kerana jumlah tidak meluas dan begitu besar.
"Walau bagaimanapun beberapa langkah perlu diambil. Baru-baru ini Menteri Kesihatan mengumumkan vaksin untuk remaja, ini satu langkah mengawal jangkitan ini dalam kalangan remaja. Saya rasa ini satu perkembangan yang baik untuk anak-anak kita.
"Kedua, SOP di sekolah. Walaupun kita tahu SOP secara ketat dilakukan di sekolah sejak dibuka beberapa bulan lepas, tapi langkah selanjutnya perlu diambil terutama pelajar yang berada di kantin, makmal, pusat sumber... dan pastikan penjarakan sosial ini ditekankan," ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.
Tambah Alimuddin, murid lebih terdedah kepada jangkitan COVID-19 terutama berada di luar sekolah.
Justeru, ujarnya, pemantauan kepada murid oleh ibu bapa dan penjaga juga amat penting memastikan anak mereka terhindar daripada dijangkiti wabak itu.
"Kemudian SOP di luar sekolah. Kita tahu ada murid positif COVID-19 ini bukan di sekolah sahaja tapi di luar sekolah terutama ketika pelajar berada di rumah, pusat beli-belah dan tempat tertentu apabila mereka bertemu dengan orang ramai.
"Langkah keempat, displin diri dalam kalangan pelajar. Perlu ambil langkah keselamatan diri sendiri. Jadi saya rasa dengan langkah ini dapat kurangkan kes positif COVID-19 seterusnya anak kita boleh belajar seperti biasa di sekolah," jelasnya ketika diminta mengulas mengenai kluster pendidikan melibatkan murid di beberapa negeri.
Mengulas mengenai SOP yang telah dilaksanakan, tambah Alimuddin, ia sudah memadai dalam mencegah jangkitan COVID-19 dalam kalangan murid.
Bagaimanapun, pemantauan pergerakan dan aktiviti murid terutama di beberapa kawasan di sekolah antaranya kantin, pusat sumber perlu diketatkan.
Malah penggunaan kenderaan ke sekolah seperti bas dan van sekolah juga perlu memastikan setiap murid mematuhi SOP ditetapkan.
"Saya rasa arahan yang diberikan oleh pihak KPM untuk sekolah melaksanakan SOP, sudah memadai. Walau bagaimanapun, kita juga perlu memahami juga anak-anak kita, misalnya untuk (mengingatkan mereka) tentang penjarakan fizikal sentiasa.
"Di dalam bilik darjah, pengasingan telah dilakukan guru-guru, tetapi (di dalam) bas sekolah itu tidak dapat dielakkan. Yang kita bimbang ini di luar sekolah, kerana anak-anak kita bukan sahaja dari rumah ke sekolah tapi mereka singgah di kedai atau tempat tertentu... ini boleh menimbulkan keraguan kepada kita," jelasnya lagi.
Selain mengetatkan lagi pemantauan, ibu bapa juga, perlu memastikan setiap anak mereka telah mendapatkan vaksinasi yang disyorkan oleh kerajaan.
Sehingga kini, beberapa negeri mencatatkan kes COVID-19 melibatkan murid iaitu di negeri Melaka dan Pulau Pinang.
Di Melaka, seramai 335 pelajar dan guru disahkan dijangkiti COVID-19 sehingga 30 Januari lalu, manakala di Pulau Pinang, lapan kluster pendidikan direkodkan masih aktif di Pulau Pinang sehingga kini.