PDI dari Indonesia tidak tiba, PAPSMA cadang kerajaan cari alternatif dari negara lain
Astro Awani
Jun 1, 2022 18:52 MYT
Jun 1, 2022 18:52 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) mencadangkan kerajaan tidak hanya melihat Indonesia sebagai sumber untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing dalam negara.
Sebaliknya, kata Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair, kerajaan perlu juga melihat beberapa negara lain seperti Bangladesh dan Nepal yang bersedia untuk menghantar tenaga buruh ke Malaysia.
Menurut beliau, langkah sebegitu perlu diambil memandangkan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang sepatutnya sampai ke Malaysia pada 31 Mei lalu tidak tiba seperti dijadualkan.
“PAPSMA tidak tahu punca sebenar PDI itu lambat tiba ke Malaysia sedangkan kerajaan kedua-dua negara telah melakukan pelbagai usaha untuk menempatkan PDI ke Malaysia sejak Fasa Peralihan Ke Endemik bermula.
“Kami mendesak kerajaan Malaysia melihat negara lain untuk memenuhi keperluan industri dalam negara sebelum rakyat mula hilang kepercayaan terhadap kerajaan dalam menangani isu tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, perkembangan terbaharu itu mengecewakan ramai majikan dan mereka berharap kekurangan kritikal dalam pelbagai sektor di Malaysia dapat diselesaikan segera.
Untuk rekod, seramai 164 orang kumpulan pertama pekerja asing sektor perladangan dari Indonesia, dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa, pukul 10 malam.
Ketibaan mereka adalah ketibaan pertama kumpulan pekerja asing dari negara itu selepas sekatan disebabkan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, mereka tidak tiba seperti dijadualkan dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, pihaknya sedang mendapatkan penjelasan berhubung punca kegagalan membawa masuk kumpulan tenaga kerja itu.
Menurutnya, berdasarkan makluman awal, pihaknya dimaklumkan kegagalan itu dikatakan berpunca akibat faktor visa dan dokumen perjalanan tidak lengkap.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya belum menerima maklumat terperinci berhubung keadaan itu dan beliau juga sudah meminta Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia (KEMNAKER) mendapatkan respons daripada pihak berkaitan.