PDC bangunkan tiga taman perindustrian babitkan kos RM3.2 bilion

Bernama
Februari 15, 2024 05:15 MYT
Chow berkata, tiga taman perindustrian itu terletak di daerah SPS yang mula dibangunkan sejak 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2031. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang giat membangunkan tiga lagi taman perindustrian di negeri itu yang melibatkan kos pelaburan termasuk pembangunan infrastruktur di situ berjumlah RM3.2 bilion dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi sektor perindustrian.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tiga taman perindustrian itu terletak di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang mula dibangunkan sejak 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2031.
"Bagi meneruskan legasi kegemilangan PDC, ia kini giat membangunkan tiga lagi taman perindustrian iaitu Bandar Cassia Technology Park (BCTP) seluas 154.6 hektar, Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3) (251.7 hektar) dan South Penang Science Park (SPSP) (70.5 hektar), kesemuanya melibatkan kos pelaburan RM3.2 bilion.
"Tiga projek itu dimulakan pada 2022. Kerja-kerja tanah dan infrastruktur juga telah dijalankan bagi projek BKIP3 majlis pecah tanah yang dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok (Jumaat)," katanya pada sidang akhbar, di sini, pada Khamis.
Selain itu, PDC ketika ini sedang mencari tanah-tanah untuk taman industri dan PDC sebagai peneraju pembangunan kawasan perindustrian telah berjaya meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan utama yang dinamik dan mampan, katanya.
Chow yang juga Pengerusi PDC berkata, sejak 54 tahun penubuhan perbadanan itu sebanyak sembilan taman perindustrian dengan keluasan kira-kira 6,100 ekar telah berjaya dibangunkan antaranya adalah Taman Perindustrian Bayan Lepas, Taman Perindustrian Seberang Jaya, Taman Perindustrian Perai, Taman Perindustrian Bukit Minyak, Penang Science Park dan Taman Perindustrian Batu Kawan.
Menurutnya, taman perindustrian PDC itu menempatkan sebanyak 350 syarikat multinasional dan syarikat tempatan serta turut menawarkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.
"Selain terlibat dalam pembangunan kawasan perindustrian, PDC tidak dapat mengetepikan atau memperlahankan keperluan sektor utama lain seperti pembangunan perumahan, komersial, infrastruktur, logistik dan kemudahan awam yang merupakan pelengkap terhadap ekosistem sektor perindustrian di negeri ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pembangunan fasa 1 BKIP2 seluas 226.22 hektar di Byram di SPS itu akan dibangunkan melalui kaedah perkongsian strategik dan lokasi itu merupakan kawasan pengambilan tanah PDC melalui kerajaan negeri terhadap tanah milikan persendirian dan ia tidak melibatkan mana-mana kawasan milik Sime Darby Plantation (SDP).
Beliau berkata, kaedah perkongsian strategik itu dilaksanakan dengan menjemput pemain industri hartanah untuk turut serta dalam pembangunan taman perindustrian bersama PDC melalui tender terbuka yang kini sedang diiklankan secara berperingkat iaitu peringkat pra-kelayakan, seterusnya panggilan Permintaan untuk Cadangan (RFP) secara jemputan akan dilakukan selepas penilaian pra-kelayakan itu selesai.
"Pembangunan BKIP2 melalui kolaborasi dengan pihak swasta itu adalah untuk mencapai beberapa tujuan utama antaranya mempercepatkan penyediaan tapak-tapak tanah industri yang dapat ditawarkan kepada bakal pelabur di lokasi pilihan sesuai dengan bentuk perusahaan dalam memastikan keutuhan daya saing dan Pulau Pinang kekal menjadi pilihan pelabur.
"Penglibatan pihak swasta diyakini mampu membawa pendekatan dan konsep pembangunan taman perindustrian yang lebih baik setanding dengan negara-negara maju serta mampu menawarkan kepelbagaian ekosistem yang kondusif pada peringkat antarabangsa," katanya.
Chow berkata, tender pra-kelayakan telah mula diiklankan pada 8 Februari lepas menerusi media arus utama dan laman sesawang PDC, ia diiklankan bagi tempoh enam minggu sehingga 21 Mac nanti
"Dokumen pra-kelayakan berkenaan berharga RM1,000. Kami mempelawa mana-mana syarikat yang berpengalaman dan berminat untuk menjadi rakan kolaborasi PDC supaya menyertai tender yang diiklankan oleh PDC," katanya. - BERNAMA
#Chow Kon Yeow #PDC #Taman Perindustrian #Majlis Pecah Tanah
;