PCOM harap perjuangan di Baitulmaqdis diteruskan pimpinan Dr Mahathir

Astro Awani
Mei 13, 2018 20:57 MYT
PCOM berharap Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mempertahankan identiti Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin terutamanya selepas keputusan Amerika Syarikat memindahkan kedutaan Israel ke Baitulmaqdis. - Gambar hiasan
Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menyatakan keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memimpin negara ke arah kemajuan dan kemakmuran yang tiada tandingannya.
Menurutnya, Palestin sentiasa mendapat kedudukan penting dalam hati setiap rakyat Malaysia dan isu Palestin sentiasa mendapat perhatian khusus pembuat dasar Malaysia.
"Oleh itu, adalah harapan kami bahawa perpaduan dengan Palestin dan rakyat Palestin, serta komitmen terhadap perjuangan Palestin, akan terus menjadi keutamaan dan tanggungjawab mulia kerajaan baharu Malaysia.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terdahulu atas sumbangan dan komitmen terhadap perjuangan Palestin, dan berharap dapat melihat sumbangan kerajaan yang baharu ini," kata PCOM dalam ucapan tahniah kepada pimpinan PH atas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.
PCOM berharap Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mempertahankan identiti Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin terutamanya selepas keputusan Amerika Syarikat memindahkan kedutaan Israel ke Baitulmaqdis.
Ia juga mengulangi komitmen untuk meneruskan usaha selama ini dengan semangat untuk memajukan hubungan dua hala yang bersejarah di antara dua negara di semua peringkat.
"Malaysia dengan bangganya mengekalkan dasar pro Palestin dan menentang pendudukan haram selama lebih dari enam dekad.
"Kami harap pendirian ini akan diteruskan berdasarkan sokongan terbuka kerajaan baharu terhadap kempen Boikot, Nyahlabur, Sekatan (BDC) antarabangsa untuk memencilkan rejim Apartheid Israel," kata kenyataan itu.
BDC ialah pergerakan diterajui Palestin bagi kebebasan, keadilan dan kesaksamaan yang mendukung prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan hak yang sama rata seperti seluruh umat manusia.
#Amerika Syarikat #Baitulmaqdis #Kebudayaan Palestin Malaysia #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Palestin #PCOM #Perdana Menteri