PBT tiada kuasa batal, tamat, tarik lesen kilang di Selangor - Exco
Astro Awani
Julai 14, 2021 10:34 MYT
Julai 14, 2021 10:34 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatal, menamat atau menarik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangnya terhadap mana-mana kilang di negeri Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri, Ng Sze Han berkata, bidang kuasa PBT ketika ini adalah terhad berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Jelasnya, Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik Pegawai Kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak COVID-19.
“Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan adalah sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja dan tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit yang mana undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu Akta 342.
“Sejak 18 Mac 2020, penentuan Tatacara Pengendalian Piawai ataupun SOP yang kita patuhi dikuatkuasakan melalui Akta 342.
“Ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang sedang dilaksanakan di hampir seluruh Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, walaupun Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera di dalam lesen pada waktu ia dikeluarkan, dan bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas.
“Pentadbiran ini telah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri yang secara prinsipnya menyatakan bahawa pada masa ini, hal perkara mengenai operasi sektor pengilangan dan pembuatan termasuklah semua peraturan membabitkan premis operasi bagi tujuan pengawalan COVID 19 adalah tertakluk kepada Akta 342 dan apa-apa arahan serta Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) umum PKP/PKPB/PKPD yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Malah, ujarnya, seksyen itu juga tidak menjelaskan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang.
“Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh.
“Operasi tersebut telah dilaksanakan oleh suatu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP COVID-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri yang mana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa.
“Berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia, sejumlah 2,266 pemeriksaan telah dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dari 25 Jun 2021 hingga 12 Julai 2021 dengan 65 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 27 premis termasuk kilang telah diarah tutup,” katanya.
Justeru, tegas beliau proses pemeriksaan tersebut akan terus berlaku demi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal sehingga kes menurun agar sistem kesihatan negara tidak terbeban dengan jumlah pesakit yang mendadak.
Malah katanya, Kerajaan Negeri turut bersedia melaksanakan tindakan serta dasar yang perlu bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dalam batas dan parameter undang-undang yang ada.
#pbt
#tiada kuasa
#pihak berkuasa tempatan
#batal lesen
#kilang di Selangor
#penyakit berjangkit
#COVID-19
#Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988
#Ng Sze Han