PBT perlu rancang pengurusan aliran air lebih baik elak banjir kilat - Fadillah

Bernama
Oktober 26, 2024 11:51 MYT
Fadillah berucap pada majlis Perasmian Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2024 di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Pengurusan aliran air dalam perancangan pembangunan bandar lestari perlu dijadikan antara keutamaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan berlakunya risiko banjir kilat terutama di kawasan bandar yang berpenduduk pesat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengurusan aliran air yang baik amat penting berikutan faktor perubahan iklim yang menyebabkan limpahan hujan semakin banyak sehingga mengakibatkan kejadian bencana itu.
"Disebabkan itu, aspek perancangan amat penting untuk kita dekati dalam konteks pendekatan pembangunan mampan, dengan kita dapat melihat bukan sahaja dari sudut aliran trafik bagaimana mobiliti orang berjalan kaki serta semua kenderaan tetapi juga aliran air dan keperluan tenaga pada masa akan datang.
"Ini antara cabarannya. Saya harapkan setiap PBT akan merangka pembangunan perancangan bandar dalam konteks keseluruhan ini, kalau tidak kemungkinan bandar akan berdepan banjir kalau tidak tangani aliran air dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen PBT 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Fadillah berkata pembinaan bandar lestari mahupun bandar pintar perlu merangkumi alat pembangunan mampan dalam merancang pembangunan berkenaan di sesebuah tempat.
"Bagaimana kita hendak mendekati dari segi keseluruhan aspek seperti konteks bekalan tenaganya bagaimana? Cukupkah tidak dan bagaimana kita hendak pastikan tenaga hijau digunakan supaya kita dapat menjimatkan pelepasan karbon.
"Kedua dari segi bekalan air, satu bekalan air kepada penduduk setempat dan pada masa sama bagaimana kita hendak menguruskan air supaya air yang diguna dikeluarkan dapat diproses balik, diguna semula dan ia tidak akan menjejaskan banjir kepada aliran air ke seluruh kawasan itu," katanya.
Beliau berkata selain itu, sistem pengangkutan pintar perlu diambil kira bagi memudahkan perjalanan penduduk di sekitar pembangunan bandar lestari dan bandar pintar.
"Jadi kita dapat merancang perjalanan kita. Kalau kita ambil bas, kita tahu bas datang, pukul berapa kita akan sampai ke destinasi.
"Ini cabaran-cabaran masa akan datang ... kalau kita tidak menguruskan ini ia akan memberikan tekanan kepada kehidupan rakyat, hendak berdepan dengan kesesakan trafik sudah pasti memberikan tekanan dan satu daripada cabaran kita sekarang ini adalah dari segi tekanan mental dalam kalangan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#pengurusan aliran air #Fadillah Yusof #banjir #pbt
;