PBT perlu bina lebih laluan basikal - Lee Lam Thye
Astro Awani
Januari 3, 2021 14:10 MYT
Januari 3, 2021 14:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan dengan mengenal pasti tempat-tempat yang sesuai untuk membina lebih banyak laluan khas buat penunggang basikal demi menjaga keselamatan mereka.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata penunggang yang berbasikal di jalan utama dan lebuh raya mendatangkan risiko kemalangan jalan raya.
“Kalau sesiapa yang menunggang basikal di lebuh raya, tentu ia membawa risiko yang tinggi memandangkan terdapat banyak kenderaan berat yang lain.
“Selain itu, penunggang basikal juga terdedah kepada risiko kemalangan dan aspek alam sekitar memandangkan ada banyak gas-gas toksik dan habuk yang ada di lebuh raya ataupun jalan utama.
“Saya berharap PBT akan membuat perancangan untuk membina lebih banyak laluan khas basikal,” katanya pada Buletin AWANI pada Ahad.
Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang jalan raya juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya rasa undang-undang yang dilaksanakan di negara ini adalah mencukupi, cuma apa yang kami perlu buat adalah meningkatkan tahap penguatkuasaan undang-undang yang ada.
“Sesiapa yang berada di mana-mana jalan yang melanggar peruntukan di bawah akta yang digubal, mereka boleh dikenakan hukuman,” katanya.
Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata mulai 9 Januari 2021, polis Putrajaya akan mengambil tindakan terhadap penunggang basikal yang gagal mematuhi ciri-ciri keselamatan termasuk pemasangan loceng, lampu dan brek.
Beliau berkata, individu yang didapati bersalah akan dirujuk ke mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.
#penunggang basikal
#pbt
#pihak berkuasa tempatan
#laluan khas
#Lee Lam Thye
#Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia
#Ketua Polis Daerah Putrajaya
#ACP Mohd Fadzil Ali