PBT perlu bangun infrastruktur, gazet laluan kenderaan mikromobiliti

Bernama
Mac 14, 2023 18:03 MYT
Hasbi berkata, pembangunan infrastruktur itu termasuklah untuk laluan basikal dengan memastikan ia mematuhi garis panduan perancangan laluan kenderaan mikrobiliti yang dibangunkan KPKT. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu membangunkan infrastruktur dan menggazetkan laluan khas bagi penggunaan kenderaan mikromobiliti agar keselamatan pengguna kenderaan itu serta pengguna jalan raya lain terjamin.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pembangunan infrastruktur itu termasuklah untuk laluan basikal dengan memastikan ia mematuhi garis panduan perancangan laluan kenderaan mikrobiliti yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Selain itu ia harus mematuhi semua elemen serta peraturan penggunaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berkenaan," katanya pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab usul tambahan dibawa Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang mengemukakan cadangan supaya kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi membenarkan penggunaan kenderaan mikromobiliti di lokasi bersesuaian.
Hasbi berkata berdasarkan pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021, kenderaan mikromobiliti yang dilarang penggunaannya ialah Moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) yang merangkumi skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam serta Personal Mobiliti Aids (PMA).
"Selain daripada kategori kenderaan ini, basikal masih dibenarkan digunakan atas jalan raya dengan mematuhi semua peraturan kecuali di jalan-jalan yang mana pihak berkuasa berkenaan telah melarang penggunaannya," katanya.
-- BERNAMA
#pbt #laluan khas #kenderan mikromobiliti #pengguna jalan raya #Hasbi Habibollah
;