PBT Perak kenal pasti kawasan pelancongan berisiko - Exco
Bernama
Disember 30, 2022 22:42 MYT
Disember 30, 2022 22:42 MYT
IPOH: Kerajaan negeri Perak telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar sentiasa mengenal pasti kawasan pelancongan yang berisiko terdedah kepada ancaman keselamatan agar ditutup seketika apabila keadaan cuaca tidak menentu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching, berkata PBT akan membuat penilaian risiko terhadap kawasan pelancongan terletak di kawasan lereng bukit, berhampiran sungai serta air terjun.
"Jadi notis amaran dan nasihat agar pengoperasiaan dihentikan sementara akan dikeluarkan apabila pihak PBT selesai membuat penilaian risiko (keselamatan)," katanya kepada Bernama hari ini.
Menurutnya, tindakan itu diambil susulan arahan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, supaya semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.
Arahan tersebut susulan insiden tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, pada 16 Dis lalu, yang mengorbankan 31 mangsa dan 61 orang terselamat.
Berikutan arahan tersebut, di Perak, Pusat Peranginan Bukit Larut dan pusat perkhelahan Burmese Pool, kedua-duanya terletak di Taiping, ditutup kepada pengunjung sehingga 23 Dis lalu.
Dalam pada itu, Sandrea, berkata pihaknya akan membentangkan kertas cadangan agar kerajaan negeri mewujudkan undang-undang berkaitan kawal selia dan prosedur operasi pematuhan (SOP) pengoperasiaan penyedia perkhidmatan pelancongan di kawasan berisiko.
"Kita cadang untuk membentangnya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan," jelasnya yang tidak mendedahkan jumlah pusat pelancongan yang masih ditutup sehingga kini.
Dalam pada itu, pengusaha Riverside Camp, Mohd Hasrol Kamis @ Mahmad, 39, berkata susulan tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali - Genting Highlands itu, berlaku penurunan pengunjung sebanyak 70 peratus sehingga menjejaskan perniagaannya yang dijalankan sejak 2014.
"Perkara ini menjejaskan pendapatan kami selain pengunjung menunjukkan kerisauan untuk melakukan aktiviti perkhemahan dan 'water rafting' sehinggakan ditanya status kewujudan lesen kami melalui panggilan telefon sebelum membuat tempahan.
"Kami sebagai operator pusat perkhemahan tidak diberi pendedahan berkaitan lesen yang perlu diperolehi oleh PBT namun kami diberi notis dan arahan untuk menutup selama tujuh hari," katanya.
Beliau, yang bekerja sepenuh masa sebagai pengendali aktiviti ini, berkata, pihaknya sentiasa mementingkan keselamatan pengunjung selain penyediaan Sistem Pengurusan Analisis Risiko (RAMS) sebelum membuka tapak perkhemahan atau semasa dalam operasi.
"Selain itu, segala kelengkapan dan peralatan berakit meredah arus deras atau aliran jeram sungai (water rafting) di sini telah diperakui oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) yang telah mematuhi kehendak piawaian keselamatan," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Inap Desa Gopeng, Noradidah Mokhtar, 57 pula berkata mereka akur dengan arahan penutupan sebelum ini demi keselamatan para pengunjung namun kini permintaan semakin memberangsangkan.
"Di Gopeng, terdapat banyak pusat aktiviti sukan lasak antaranya 'water rafting', kayak dan 'jungle trekking' yang memperuntukan mereka untuk menginap di inap desa. Namun kami perlu membatalkan sebarang tempahan sepanjang tempoh penutupan berkenaan," klatanya.
-- BERNAMA