PBT pasang CCTV perangi pembuangan sampah haram
Abd Razak Mohd Ali
Mac 31, 2023 14:23 MYT
Mac 31, 2023 14:23 MYT
TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) melaksanakan pelbagai usaha untuk membasmi tapak pembuangan sampah haram, termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi ‘hotspot’.
Yang Dipertuanya, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, setakat ini terdapat 49 tapak sampah haram masih aktif di kawasan operasi MPT dengan purata 780 tan sisa sampah yang dikumpulkan setiap bulan.
Menurutnya, antara lokasi ‘hotspot’ ialah Jalan Tekkah Impian 2, Taman Tekkah Impian (100 tan); Lengkok Taman Sungai Mas, Taman Sungai Mas (80 tan); Jalan Timah Hitam, Kawasan Perindustrian Kamunting Raya (80 tan); Ladang Sin Wah, Jalan Kamunting-Batu Kurau, Kamunting (80 tan) dan Kampung Pinang Seberang, Kamunting (50 tan).
“Pelbagai usaha telah dilaksanakan, antaranya mengadakan kempen pembasmian sampah haram dengan melakukan pembersihan secara berkala, meletakkan papan amaran, memasang tali penghalang dan gotong-royong bersama penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Penuh Bilangan 1 tahun 2023 di sini, hari ini.
Menurutnya, MPT juga telah menerbitkan brosur panduan pengurusan sampah dalam tiga bahasa, mewar-warkan jadual kutipan sampah dan senarai lokasi tong sampah RORO di media sosial rasmi MPT.
“Dua tapak sampah haram telah dipasang CCTV namun terdapat segelintir masyarakat mengambil mudah isu kebersihan,” ujarnya.
Khairul Amir berkata, pada bulan Januari hingga Februari sahaja, pihaknya telah mengeluarkan 13 tawaran kompaun berjumlah RM3,250.
Tegasnya, mana-mana pihak yang membuang sampah haram akan diambil tindakan undang-undang di bawah Undang-Undang Kecil Kebersihan Awam (Majlis Perbandaran Taiping) 1984 yang menawarkan kompaun tidak lebih RM 250.
Bagaimanapun, ujarnya sekiranya disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.