PBT di Selangor digesa sedia tapak khas untuk bekas atlet para
Bernama
April 16, 2023 23:20 MYT
April 16, 2023 23:20 MYT
SUNGAI BULOH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor digesa menyediakan tapak khusus kepada bekas atlet Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di negeri itu bagi memudahkan mereka bergiat aktif dalam aktiviti muzik jalanan atau 'busking' bagi mencari pendapatan selepas mereka bersara.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Mohd Khairuddin Othman berkata kawasan disarankan adalah tempat tumpuan awam antaranya pusat membeli-belah dan bazar larut malam serta mempunyai kemudahan yang mesra golongan OKU.
Beliau berkata setakat ini tiga PBT telah bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memudahkan urusan atlet para mendapatkan tempat bersesuaian bermain muzik iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
"Kebanyakan bekas atlet para kita memang cenderung untuk bermain alat muzik secara busking. Menjadi antara rungutan mereka ialah tiada tempat khusus untuk cari pendapatan.
"Kita harap kesemua PBT dapat tempatkan mereka di kawasan bersesuaian. Bantu mereka dan jangan susahkan dengan cara birokrasi dan sebagainya," katanya pada pemberita selepas Majlis Iftar Hargai Jasa Atlet 2023 di sini hari ini.
Mohd Khairuddin menjelaskan pihak PBT hanya perlu menyediakan tapak manakala kos lain akan ditanggung oleh kerajaan Selangor.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri membelanjakan hampir RM800,000 setakat ini bagi membantu bekas atlet Selangor yang kurang berkemampuan mendapatkan kehidupan lebih selesa selepas mereka bersara.
Katanya bantuan menerusi program Ceria Atlet Selangor (CAS) itu diagih secara berperingkat sejak 2019 dan memanfaatkan lebih 250 atlet berpendapatan rendah untuk membina atau membaiki kediaman serta membeli alatan rumah.
Mengenai majlis hari ini, Mohd Khairuddin berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30,000 iaitu sumbangan Aidilfitri kepada 150 bekas atlet dan atlet para Selangor untuk membantu mengurangkan beban mereka menyambut Aidilfitri.
-- BERNAMA