PBT di Kedah, Kelantan, Perlis belum tubuh unit integriti - Nga

Bernama
September 5, 2024 11:40 MYT
Nga berkata unit integriti adalah penting untuk memastikan komitmen semua 156 PBT dalam menyokong usaha kerajaan membanteras rasuah. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di tiga negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan didapati belum menubuhkan unit integriti, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga dalam kenyataan hari ini berkata unit integriti adalah penting untuk memastikan komitmen semua 156 PBT dalam menyokong usaha kerajaan membanteras rasuah.
"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, saya telah mengarahkan semua PBT yang belum melaksanakan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini untuk segera menubuhkan unit integriti masing-masing," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau menerima kunjungan hormat dan laporan kajian daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki di pejabatnya, semalam.
Nga telah menjemput SPRM ke pejabat beliau untuk membincangkan pelan tindakan dan strategi mencegah amalan rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menjunjung prinsip integriti, mengikut kenyataan itu
Dalam pada itu, Nga turut memuji Selangor dan Pulau Pinang sebagai contoh terbaik dalam pelaksanaan surat pekeliling JPA untuk menubuhkan unit integriti seperti yang terdapat dalam kajian SPRM.
"Kita akan terus memantau dan memastikan unit integriti berfungsi dengan baik demi menjunjung prinsip integriti selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menegaskan prinsip ketelusan dan tata kelola yang baik," katanya.
-- BERNAMA
#pbt #PN #unit integriti #Nga Kor Ming
;