PBSM hanya mampu hantar bantuan terhad kepada mangsa banjir

Arfa Yunus
Disember 4, 2013 08:24 MYT
Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia mula menghantar bantuan kepada mangsa banjir walaupun masih tidak mendapat kebenaran untuk menolong orang ramai di Kuantan.
Jurucakapnya, Liza Ramli berkata, pihak mereka hanya mampu menghantar keperluan asas yang terhad memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu di negeri berkenaan.
"Kami menghantar biskut, air mineral, pakaian serta beberapa keperluan asas lain untuk mangsa banjir. Lori yang membawa barangan ini sudah bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira jam 10 pagi tadi. Tetapi kami masih belum mendapat sebarang maklumat sama ada lori tersebut dibenarkan masuk ke kawasan banjir atau tidak," kata Liza.
Menurut beliau, ahli-ahli PBSM yang berada di setiap negeri yang mengalami banjir sudah pun bersiap sedia untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
"Buat masa ini mereka sudah bersiap sedia. Tetapi disebabkan paras air yang naik dengan mendadak, mereka masih belum dibenarkan untuk keluar daripada rumah masing-masing. Hanya pihak polis dan bomba sahaja yang dibenarkan," beliau berkata.
Tambah Liza lagi, pihak mereka akan terus berusaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir walaupun masih belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
#banjir #bantuan #Kuantan #Liza Ramli #PBSM