PBSL platform awal masyarakat terima bekas banduan

Wan Syamsul Amly
Jun 4, 2019 19:01 MYT
Abd. Kadir berkata, PBSL adalah program melepaskan banduan dengan syarat-syarat tertentu selama tujuh hari dan kembali menjalani hukuman selepas tempoh tersebut. - Gambar Astro AWANI
Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menjadi platform awal masyarakat menerima bekas banduan untuk bersama dalam aktiviti rutin seharian.
Pengarah Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan, Abd. Kadir Rais berkata, ia sekali gus tanda sokongan agar bekas banduan tidak kembali melakukan kesalahan yang membawa mereka ke penjara.
"Proses pemulihan bermula dari pra, semasa dan selepas. Majoriti bekas banduan tidak diterima keluarga walaupun banduan ini sudah berubah.
"Kita semestinya beri peluang kedua kepada mereka kerana sekali silap tidak semestinya akan silap terus.
"Masyarakat diseru kembali menerima banduan yang telah dibebaskan kerana kita perlu memberi mereka merasakan sokongan masyarakat dan komuniti supaya mereka tidak kenbali melakukan kesalahan undang-undang," katanya semasa sidang media PBSL di sini, pada Selasa.
TONTON: Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL)
PBSL adalah program melepaskan banduan dengan syarat-syarat tertentu selama tujuh hari dan kembali menjalani hukuman selepas tempoh tersebut.
Perlaksanaan program adalah tertakluk dalam Seksyen 43 Pelepasan Banduan Secara Berlesen Akta Penjara Malaysia.
Antara syarat utama untuk mengikuti PBSL adalah persetujuan pihak keluarga, tahap kepulihan banduan, kemajuan banduan dalam Program Pembangunan Insan (PPI) dan disiplin banduan.
Jabatan Penjara buat pertama kali pada 2013 melaksanakan pelepasan banduan secara berlesen selama tujuh hari bertujuan memulihkan banduan melalui pembabitan keluarga.
Banduan yang boleh memohon adalah banduan yang menjalani hukuman lama dan telah menjalani hukuman pemenjaraan tidak kurang daripada empat tahun dan telah berada di Peringkat Empat di dalam Sistem Peringkat Progresif di penjara.
#banduan #PBSL #penjara #undang-undang
;