PBS sokong keputusan kerajaan Sabah longgarkan SOP COVID-19
Astro Awani
Jun 30, 2021 13:57 MYT
Jun 30, 2021 13:57 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas UMNO Sabah, giliran Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong keputusan Kerajaan Sabah melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai memaklumkan keputusan berkenaan dibuat berasaskan situasi kes COVID-19 di negeri ini yang berada pada tahap terkawal dan antara terendah di Malaysia.
“PBS percaya sebelum keputusan itu dibuat, kerajaan negeri sudah membuat penelitian terutama sekali dalam aspek keperluan keseimbangan diantara menjaga keselamatan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi,” jelas kenyaaan itu.
Tambahnya PBS pada masa sama yakin kerajaan Persekutuan memahami kehendak kerajaan dan rakyat negeri Sabah pada ketika ini.
“PBS yakin Kerajaan Persekutuan memahami apa yang baik dan perlu untuk Sabah kerana keputusan yang dibuat sudah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang turut dianggotai agensi kerajaan persekutuan seperti Polis, Jabatan Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara”, ujarnya.
PBS bagaimanapun berharap agar penguatkuasaan berkesan dijalankan untuk memastikan pematuhan masyarakat dan premis perniagaan terhadap SOP yang ditetapkan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyifatkan keputusan berkenaan berlandaskan data dan fakta selain jumlah kes harian yang masih ditahap sederhana berbanding di beberapa negeri di Semenanjung.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor membenarkan beberapa aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi semula seperti 'dine-in' dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula Selasa lalu.
Turut diberi kebenaran ialah pembukaan kedai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan, serta kedai gunting rambut dan aktiviti sukan tidak bersentuhan seperti golf, memancing dan berbasikal.
Bagaimanapun Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa menegaskan kerajaan negeri tidak boleh melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jelasnya MKN telah memutuskan satu SOP sama diguna pakai di seluruh negara dan negeri tidak sepatutnya membuat SOP sendiri.
#COVID-19
#MKN
#SOP
#ismail sabri yaakob
#UMNO
#PBS
#golf
#ekonomi
#sukan
#Malaysia
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Majlis Keselamatan Negara
#Ketua Menteri
#Sabah