PBS gilap potensi akademik, kokurikulum pelajar secara seimbang - LPM

Bernama
Disember 18, 2016 09:09 MYT
Pentaksiran Sekolah melibatkan penilaian akademik oleh guru-guru sewaktu proses pembelajaran dalam kelas secara berterusan dari Tingkatan 1 hingga 3, yang mana guru-guru perlu menghantar laporan prestasi itu kepada LPM setiap tahun. - Gambar fail
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam pendidikan menengah rendah direka bagi membantu menggilap potensi akademik dan kokurikulum pelajar secara holistik.
Ketua Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dr Rahimah Adam berkata hal ini kerana PBS menilai aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Katanya komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
"Pentaksiran Sekolah melibatkan penilaian akademik oleh guru-guru sewaktu proses pembelajaran dalam kelas secara berterusan dari Tingkatan 1 hingga 3, yang mana guru-guru perlu menghantar laporan prestasi itu kepada LPM setiap tahun.
"Pentaksiran Pusat pula melibatkan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang mana instrumen dan panduan penskoran serta penjaminan kualiti disediakan oleh LPM sepenuhnya," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif di Kementerian Pendidikan di sini.
Tambahnya, penglibatan pelajar dalam aktiviti berpersatuan dan sukan pula dinilai dalam PAJSK iaitu mengenal pasti kemahiran kepemimpinan dan komunikasi mereka dalam organisasi.
"PPsi pula akan dikendalikan oleh guru-guru kaunseling yang mana satu ujian khas diberi kepada pelajar-pelajar bertujuan mengenal pasti bakat dan kecenderungan mereka terhadap bidang diminati.
"Ia juga sebagai satu elemen penting kepada pihak sekolah untuk membantu pelajar-pelajar menentukan aliran Sains ataupun Sastera apabila melangkah ke Tingkatan 4," katanya.
Rahimah berkata PT3 hanya merupakan satu daripada elemen dalam PBS dan bukannya berfungsi untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Di akhir Tingkatan 3, murid akan menerima pelaporan Pentaksiran Sekolah, pelaporan Pentaksiran Psikometrik, pelaporan PAJSK dan pelaporan PT3," katanya.
Katanya kebanyakan ibu bapa terlalu obses kepada keputusan peperiksaan anak-anak mereka sehingga gagal mengesan potensi dan bakat sebenar yang dimiliki oleh pelajar itu sendiri.
"Berbanding dengan sistem PMR yang berorientasikan peperiksaan, PBS lebih tertumpu kepada membantu ibu bapa dan guru mengenali kecenderungan murid-murid sama ada dalam akademik ataupun kokurikulum," katanya.
Rahimah berkata PT3 turut menerapkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam tugasan yang diberi bertujuan mentaksir kemahiran kognitif seperti menganalisis, menilai, mencipta dan kemahiran mengaplikasikan pengetahuan kepada situasi harian.
"Ia diukur mengikut kesesuaian tahap pemikiran usia pelajar berkenaan yang berada pada umur 15 tahun bagi menggilap kemahiran berfikir mereka," katanya. -- Bernama
#Dr Rahimah Adam #Lembaga Peperiksaan Malaysia #Pentaksiran Berasaskan Sekolah
;