PBBPP rayu pendaki jaga kebersihan di Bukit Bendera

Sinar Harian
Februari 20, 2024 13:27 MYT
Kertas yang ditinggalkan kumpulan pendaki di laluan yang disediakan di Bukit Bendera selain batu atau pokok disembur cat sebagai tanda laluan pendakian. - Foto Facebook PBBPP
GEORGE TOWN: Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) merayu kepada semua pengguna laluan terutamanya pendaki supaya menjaga kebersihan alam sekitar di pusat peranginan tersebut.
PBBPP dalam kenyataan dalam Facebooknya berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai terdapat kertas yang ditinggalkan atau dibuang oleh kumpulan pendaki di sepanjang laluan mendaki menyebabkan persekitaran di situ kotor.
"PBBPP telah menerima aduan daripada orang ramai bahawa terdapat kertas yang ditinggalkan oleh kumpulan pendaki atau dibuang di sepanjang laluan mendaki sebagai penanda untuk aktiviti mendaki, merupakan perbuatan tidak sopan.
"PBBPP merayu kepada semua pengguna laluan untuk mengelak daripada membuang sampah ke dalam laluan alam semula jadi dan menggalakkan penggunaan MAS-tag, yang diperkenalkan oleh Hikers Roundtable untuk menganjurkan acara mendaki anda," katanya pada Selasa.
Tambah PBBPP, pihaknya juga meminta kumpulan pendaki agar tidak menyembur atau mengecat pada pokok atau batu sebagai tanda laluan.
"Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memelihara alam sekitar bagi generasi akan datang," tambahnya lagi.
Bukit Bendera yang terletak di Air Itam adalah salah satu lokasi tarikan pelancong di Pulau Pinang yang mana, terdapat beberapa alternatif disediakan PBBPP untuk pengunjung naik ke puncak iaitu perkhidmatan funikular, mendaki melalui denai yang disediakan atau melalui jalan lasak menggunakan jip.
Antara lokasi menarik di puncak Bukit Bendera adalah kafe tertinggi di Malaysia, Kopi Hutan, The Habitat, bangunan bersejarah antaranya Penang Hill Gallery@Edgecliff.
Ia merupakan sebuah galeri yang menyediakan pelbagai informasi mengenai sejarah pembukaan Bukit Bendera, biodiversiti, funikular, flora dan fauna yang terdapat di pusat peranginan berkenaan. - Sinar Harian
#Bukit Bendera #pendaki buang sampah #alam sekitar #laluan pendakian
;