PBB terima pakai perjanjian bersejarah lindungi lautan
Bernama
Jun 20, 2023 11:20 MYT
Jun 20, 2023 11:20 MYT
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menerima pakai satu perjanjian bersejarah yang bertujuan melindungi lautan dan memastikan penggunaan biodiversiti marin secara mampan selepas lebih 15 tahun perbincangan.
Perjanjian itu akan dibuka untuk ditandatangani di ibu pejabat PBB selama dua tahun mulai 28 Sept.
Ia akan berkuat kuasa selepas diratifikasi oleh 60 negara, menurut Agensi Anadolu.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memuji penerimaan perjanjian itu dan berkata ia memacu "kehidupan baharu dan berharap dapat memberi lautan satu peluang perjuangan," kata seorang jurucakap.
Guterres menggesa semua negara berusaha keras untuk memastikan perjanjian itu mula berkuat kuasa dan menyeru mereka untuk bertindak tanpa berlengah untuk menandatangani dan mengesahkannya secepat mungkin.
Perjanjian penting itu akan mewujudkan rangka kerja undang-undang untuk mewujudkan kawasan perlindungan lautan yang luas di perairan antarabangsa.
"Perjanjian ini adalah kemenangan untuk semua kehidupan di planet ini. Kini kerajaan sama yang bersetuju ia mesti segera meratifikasi dan mula menyediakan tempat perlindungan lautan yang luas di laut lepas.
"Sains adalah jelas, kita mesti melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus lautan menjelang 2030 untuk memberi peluang kepada lautan untuk pulih dan berkembang maju," kata aktivis kempen Melindungi Lautan Greenpeace, Chris Thorne..
-- BERNAMA