PBB dihalang masuk ke Myanmar isyarat salah pada dunia

Astro Awani
Julai 2, 2017 07:57 MYT
Reezal Merican sifatkan keputusan tersebut sebagai mengecewakan. - Gambar fail
Tindakan kerajaan Myanmar untuk tidak membenarkan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) untuk memasuki negara berkenaan bagi menyiasat dakwaan penindasan terhadap penduduk Rohingya, adalah satu isyarat yang salah kepada masyarakat dunia.
Menyifatkan keputusan tersebut sebagai mengecewakan, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan itu tidak mencerminkan komitmen kerajaan Myanmar ke arah menyelesaikan konflik melibatkan etnik minoriti Rohingya.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya menaruh harapan supaya misi anjuran Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang diterima pakai pada Mac lalu dibenarkan masuk ke Myanmar bagi menjalankan siasatan.
“Hal ini mungkin akan memberi isyarat yang tidak betul kepada komuniti antarabangsa, dan tindakan Myanmar itu mengecewakan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan terbaru kerajaan Myanmar yang tidak membenarkan PBB masuk ke negara berkenaan .
30 Jun lepas, kerajaan Myanmar mengumumkan tidak akan membenarkan pasukan PBB memasuki negara itu untuk menyiasat pembunuhan, rogol dan penyeksaan terhadap etnik Muslim Rohingya.
Perkara itu disahkan Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Myanmar Kyaw Zeya.
Kerajaan yang diketuai pemenang Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, sebelum ini memaklumkan ia tidak akan bekerjasama dengan misi ditubuhkan Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang diterima pakai pada Mac lalu.
Selain itu, pihaknya juga tidak akan mengeluarkan sebarang visa kemasukan ke Myanmar kepada individu atau kakitangan yang dilantik untuk misi itu.
Reezal Merican berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Rumah terbuka Parlimen Kepala Batas, di Wisma Umno Kepala Batas.
#i Reezal Merican Naina Merican #Myanmar #PBB #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu