PBB didesak kecam tindakan zalim Israel tahan delegasi misi Gaza - NGO
Tan Su Lin
Oktober 7, 2016 14:00 MYT
Oktober 7, 2016 14:00 MYT
Tindakan rejim Israel menahan 13 anggota delegasi misi 'Women's Boat To Gaza' pada Rabu dibimbangi mencetuskan tindak balas kumpulan Daish bagi melakukan keganasan.
Sehubungan itu, gabungan 25 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negara ini mendesak agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kezaliman rejim itu.
Desakan itu disuarakan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon menerusi Koordinator Tetap, PBB Malaysia, Michelle Gyles Mcdonnough.
Serahan memorandum dibuat Presiden Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang mewakili 25 NGO lain termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Yayasan Prihatin Insan pada jam 12 tengah hari tadi.
"Penahanan terhadap 13 aktivis antarabangsa ini boleh dijadikan satu hujah oleh puak-puak yang terlibat dalam keganasan seperti Daish umpamanya untuk meneruskan aktiviti yang tidak berperikemanusiaan.
"Ia juga dibimbangi dijadikan hujah bagi mereka menarik simpati pihak-pihak tertentu bahawa Israel perlu ditentang melalui cara mereka. Jadi penahanan ini tidak sewajarnya berlaku dan sudah cukuplah perkara ini berlaku kerana PBB dilihat masih gagal memainkan peranan yang sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan di ibu pejabat PBB Malaysia di sini, hari ini.
Koordinator Bebaskan Dr Fauziah Hassan, Uztaz Hakim Mohd Nor turut menggesa agar PBB memberi jaminan keselamatan kepada misi bantuan lain ke Gaza.
"Apa yang kita mohon supaya PBB memberi jaminan keselamatan pada masa akan datang. Kalau kali ini 13 orang delegasi tidak dibenarkan masuk dan kemudian dibenarkan pulang menunjukkan tidak ada masalah dan tidak ada keperluan bagi menahan mereka.
"Jadi kita mohon PBB berjanji supaya apa sahaja bantuan yang sampai pada masa akan datang kepada Palestin dibenarkan dan tidak ada sekatan," katanya.
Biarpun tidak berjaya sampai ke Gaza, namun misi berkenaan disifatkan sebagai berjaya membuka mata dunia agar bangkit menyelamatkan jutaan penduduk Palestin yang terseksa di Gaza.
"Mungkin pada pandanga pertama, seolah-olah misi 13 orang ini gagal sampai ke Gaza tetapi mereka telah berjaya buka mata dunia untuk menghantar lebih banyak lagi bantuan ke Palestin.
"Misi utama bukan 13 orang tapi jutaan manusia di Palestin yang dibom setiap hari. Kita minta PBB jangan berdiam diri. Kalau mereka boleh beri perhatian kepada 13 orang ini kenapa tidak rakyat Palestin yang dibunuh setiap hari?" katanya.
Susulan itu, wakil tunggal Malaysia yang mengikuti misi berkenaan, Dr Fauziah Mohd Hassan disahkan telah dibebaskan tentera Israel dan semua anggota misi dalam kapal Zaytouna Oliva berada dalam keadaan selamat.
#Dr Fauziah Mohd Hasan
#Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss
#Gaza
#Israel
#MyCare
#Palestin
#WBG
#Womens Boat to Gaza
#Yahudi