PBAPP peruntuk RM2.5 juta pasang meter air pintar

Bernama
Mei 25, 2024 07:15 MYT
Pathmanathan berkata PBAPP mengambil maklum keluhan pengguna berhubung sistem bil dwibulanan dan menegaskan pengguna tidak membayar lebih daripada kadar air yang digunakan. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperuntukkan RM2.5 juta bagi fasa pertama pemasangan meter air pintar melibatkan 2,000 akaun pengguna di Balik Pulau dekat sini pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K Pathmanathan berkata ia kemudian akan diperluaskan kepada 20,000 akuan pengguna di kawasan lain di negeri itu dalam usaha PBAPP bergerak ke arah pendigitalan.
"Kaedah pengiraan masih sama tetapi dengan adanya meter air pintar, pengguna mempunyai pilihan untuk memuat turun bil secara dalam talian sama ada dalam tempoh sebulan atau dua bulan sekali," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Air Sedunia 2024 yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di sini semalam.
Dalam pada itu beliau berkata PBAPP mengambil maklum keluhan pengguna berhubung sistem bil dwibulanan dan menegaskan pengguna tidak membayar lebih daripada kadar air yang digunakan.
Sementara itu Chow memaklumkan kerajaan negeri telah menangguhkan pelaksanaan tarif air baharu yang diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selama hampir dua tahun bagi membolehkan pengguna menikmati kadar air yang rendah.
"Permohonan kenaikan tarif air dibuat pada 2015 lagi tetapi ia tidak dilaksanakan kerana pelbagai faktor... banyak negeri pada 2023 sudah laksanakan (tarif baharu), kita tunggu sampai Februari lalu baru kita laksanakan," katanya.
SPAN sebelum ini mengumumkan purata kadar baharu di Pulau Pinang untuk penggunaan domestik air sehingga 35 meter padu (m3) sebulan ialah RM1.17 bagi setiap m3 iaitu 1,000 liter dan caj minimum setiap bulan ialah RM6.20.
-- BERNAMA
#PBAPP #Chow Kon Yeow #K Pathmanathan #meter air pintar
;