PBAPP akan pasang dua paip baharu untuk selesai isu di Sungai Perai
Bernama
Januari 13, 2024 17:41 MYT
Januari 13, 2024 17:41 MYT
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memasang dua batang paip baharu di Sungai Perai sebagai penyelesaian sementara selepas saluran paip di dasar sungai itu yang dikesan mengalami kebocoran baharu semalam tidak lagi dapat dibaiki.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata kerja-kerja penggantian itu perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) terlebih dahulu, memandangkan lencongan yang dibuat akan merentasi jambatan Ampang Jajar yang ia di bawah seliaan jabatan tersebut.
"Paip itu sudah berada di dasar sungai lebih 30 tahun dan tidak dapat diperbaiki lagi selain penilaian mendapati konkrit yang melindungi paip itu telah terkeluar di banyak bahagian jadi PBAPP mencadangkan supaya dua batang paip baharu dipasang dan kami harap JKR dapat beri kelulusan segera kerana ini merupakan satu kerja penggantian kecemasan.
"Tetapi, untuk jangka panjang kami akan bina paip baharu sedikit jauh dari jambatan (Ampang Jajar) di atas permukaan sungai dan bukan lagi di dasar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan papan tanda Love Penang Hill di Bukit Bendera di sini, hari ini.
Chow berkata pemasangan dua paip itu melibatkan jarak lencongan sejauh 500 meter dan dijangka memakan masa kira-kira sebulan untuk disiapkan.
Semalam media melaporkan, PBAPP telah mengambil langkah segera dengan melencongkan paip sementara, susulan kebocoran baharu yang dikesan pada saluran paip di dasar Sungai Perai.
Chow yang juga Pengerusi PBAPP menjelaskan buat masa ini, Sungai Perai masih lagi memerlukan pemantauan rapi dan penyelam berpengalaman juga telah diarahkan untuk bersiap sedia sekiranya perlu melakukan kerja-kerja pembaikan sementara di dasar sungai terbabit.
"Kami sudah balut bahagian (paip) yang bocor sebelum ini tetapi tekanan air yang tinggi menyebabkan berlaku kebocoran di bahagian lain pula. Ini memerlukan pemantauan rapi kerana kami hendak pastikan bekalan dapat dipulihkan kepada semua pengguna dalam tempoh ditetapkan tetapi buat masa ini ia masih lagi mengikut jadual," katanya.
Beliau berkata kebocoran di Sungai Perai itu hanya menjejaskan pengguna di Daerah Barat Daya dan setakat pagi tadi, 88 peratus akaun sudah pun berjaya dipulihkan dengan baki 10,000 masih terjejas.
Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi Rabu lepas, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.
Sebanyak 157 kawasan membabitkan SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.
-- BERNAMA