PBAKL 2023 dapat sambutan meriah golongan muda
Fareez Azman
Mei 28, 2023 19:06 MYT
Mei 28, 2023 19:06 MYT
KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 yang bermula Jumaat lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mendapat sambutan meriah terutama daripada golongan muda.
Menurut Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron, beliau percaya sasaran 1.3 juta pengunjung sepanjang PBAKL 2023 sehingga 4 Jun dapat dicapai.
"Sambutannya sangat luar biasa, hari pertama dan kedua ada peningkatan jumlah pengunjung lebih 25 peratus. Contohnya hari pertama kita dapat 53,000 tahun lepas, tahun ini 73,000 pengunjung.
"Semalam (hari kedua yang juga hari pelancaran)... tahun lepas hari pelancaran ada 132,000 pengunjung, tahun ini ada lebih 173,000 pengunjung. Jadi saya melihat sambutan diberikan sangat mengalakkan," jelasnya.
Tambah Khair, meskipun terdapat kekangan ekonomi terhadap rakyat, namun pencinta buku dilihat tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bahan bacaan kegemaran mereka pada PBAKL kali ini.
"Mungkin orang mengatakan kita ada masalah ekonomi, tapi untuk pencinta buku mereka memang menunggu PBAKL sebab di sini mereka boleh bertemu dengan penulis mereka suka, mereka boleh memilih buku dengan harga kompetitif.
"Macam kita nak raya, kita buat persediaan, sama dengan pesta buku. Memang mereka menunggu waktu untuk hadir.
"Lebih-lebih lagi kempen menggunakan media sosial seperti di TikTok #BookTokMalaysia jumlah view melebihi 320 juta. Itu rekod dengan apa kita lihat tiga hari ini jumlah cukup menakjubkan," katanya lagi ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
PBAKL 2023 berlangsung sejak 26 Mei lalu melibatkan lebih 213 pempamer di kalangan penerbit, pengedar dan kedai buku dalam dan luar negara.
Lebih unik, PBAKL kali ini turut melibatkan China sebagai negara tamu, Sarawak selaku negeri tamu dan Kementerian Pendidikan sebagai kementerian tamu.