PBAKL 2022: 1.24 juta pengunjung dicatatkan dalam tempoh 10 hari

Fareez Azman
Jun 12, 2022 18:09 MYT
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang berakhir hari ini, mencatatkan kunjungan seramai 1.24 juta pengunjung dalam tempoh 10 hari pesta buku itu diadakan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang berakhir hari ini, mencatatkan kunjungan seramai 1.24 juta pengunjung dalam tempoh 10 hari pesta buku itu diadakan.
Menurut Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khair Nadiron, jumlah itu melebihi sasaran yang ditetapkan pihaknya.
"Dari 10 pagi hingga 10 malam selama 10 hari, sambutan yang kita perolehi sangat menggalakkan.
"Kita anggarkan jumlah pengunjung sekitar 700,000 sehingga 1 juta. Tetapi semalam angkanya 1.24 juta pengunjung, dua tahun sudah, 1.2 juta pengunjung juga dicatatkan," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Tambahnya, majlis penutup PBAKL 2022 turut akan dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar pada malam Ahad.
Jelas Mohd Khair, dari sudut jualan pula, dijangka syarikat penerbitan yang mengambil bahagian juga turut akan mengadakan lelongan sebelum jam 10 malam.
Mengulas lanjut tambah Mohd Khair, menerusi sambutan yang mengalakkan diterima dalam PBAKL 2022, menjadi harapan agar industri penerbitan buku itu
"Hari ini biasanya hari terakhir ada jualan hebat, malam ini penutup dirasmikan Tan Sri Noh Omar.
"Ini juga kali pertama Perdana Menteri merasmikan pesta buku dan juga penutupan oleh Menteri Usahawan. Kita harapkan selepas ini Industri Pembukuan akan menjadi industri yang berdaya saing dan dapat memberi sumbangan ekonomi besar kepada negara," katanya lagi.
PBAKL 2022 yang bermula 3 Jun lalu disertai kira-kira 160 peserta dengan lebih 700 pameran buku dibuka setiap hari.
#MBKM #Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 #PBAKL #Buku #PBAKL 2022 #WTCKL
;