Payah bagi OKU dapatkan produk takaful, insurans yang bagus
Bernama
November 24, 2020 15:40 MYT
November 24, 2020 15:40 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat takaful seharusnya memberi pertimbangan sewajarnya tentang aspek ketercapaian (accessibility) atau kemudahan bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) mendapatkan perlindungan takaful dan insurans.
Ini kerana amat sukar mendapatkan produk takaful yang kompetitif serta komprehensif untuk golongan OKU, kata Ketua Komunikasi Sayap OKU Persatuan Orang Kota Bharu Dr Mastura Mahamed kepada Bernama.
Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan 6 November lalu, kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan caruman di Akaun 2 bagi membeli produk perlindungan insurans, takaful hayat serta penyakit kritikal.
Mastura berkata, langkah itu amat baik kerana ketika ini, ramai golongan OKU turut mencarum dalam KWSP.
"Saya berpendapat sekarang adalah masa yang tepat untuk penyedia perkhidmatan takaful mengambil peluang memudahkan golongan OKU mendapatkan perlindungan insurans," katanya lagi.
Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Perakaunan dan Kewangan Universiti Tenaga Nasional Muadzam Shah Dr Azleen Ilias berkongsi kesukaran beliau mendapatkan perlindungan insurans sebagai seorang OKU kerdil.
"Pengalaman saya mendapatkan perlindungan insurans bermula pada tahun 2008 sangat mencabar. Sebagai syarat sebelum mendapatkan polisi insurans, saya perlu menjalani ujian darah dan ujian kemampatan tulang di hospital beberapa kali namun tetap tidak lulus.
"Walaupun saya OKU kerdil dan tulang saya kecil, hasil ujian tulang saya tiada masalah dan disahkan sendiri oleh pihak hospital," kata Azleen, 40, kepada Bernama.
Sehingga kini, beliau masih belum berjaya mendapatkan sebarang polisi insurans sendiri.
Walaupun mereka yang bekerja mempunyai polisi insurans yang disediakan majikan, bagaimana pula keadaan mereka apabila tidak lagi bekerja, atau bagi mereka yang bekerja sendiri?
"Berilah peluang kepada golongan kami untuk mendapatkan polisi insurans - sekurang-kurangnya insurans perubatan kerana jika berlaku apa-apa di kemudian hari ia dapat meringankan beban kami dan keluarga.
"Saya berharap pihak kerajaan dan pihak insurans terlibat bersama-sama dapat memastikan golongan OKU seperti kami dapat dibantu dari segi kelayakan dan memudahkan proses mendapatkan polisi insurans sama seperti orang lain," katanya.
-- BERNAMA
#OKU
#orang kelainan upaya
#insurans
#takaful
#kebajikan
#kemudahan
#perlindungan
#mastura mahamed
#KWSP