Paya Indah Wetlands diberi nafas baharu, mantapkan ekopelancongan di Selangor

Bernama
Oktober 4, 2024 09:10 MYT
Perjanjian tiga pihak melibatkan NRES; Kerajaan Negeri Selangor dan Gamuda Land itu disaksikan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan Gamuda Land (Discovery Wetlands Sdn Bhd) (DWSB) pada Khamis memeterai perjanjian bagi mengembangkan lagi potensi Paya Indah Wetlands (PIW) di Dengkil, Selangor sebagai destinasi ekopelancongan.
Perjanjian tiga pihak melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES); Kerajaan Negeri Selangor dan Gamuda Land itu disaksikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim; Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Selangor, Datuk Johary Anuar dan Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Datuk Abdul Sahak Safi di NRES.
Dalam sidang media selepas majlis itu, Nik Nazmi berkata, perjanjian berkenaan akan berkuat kuasa hingga 31 Julai 2037 dengan DWSB mengambil alih aspek operasi dan pengurusan PIW.
"Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memfokus kepada program konservasi hidupan liar manakala kerajaan negeri Selangor kekal sebagai pemilik tanah PIW," katanya.
Beliau berkata, Jawatankuasa Kerja Bersama yang akan dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan pematuhan kerjasama strategik itu.
"Perkara melibatkan keputusan dasar akan diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Tanah Rizab Paya Indah Wetlands yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha NRES," katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerjasama strategik berkenaan membuka lembaran baharu kepada orang ramai melihat eleman baharu dalam ekopelancongan di PIW.
"Saya percaya dengan kolaborasi ini akan menjamin kelestarian terutama dalam pengurusan hutan paya bakau ... ia juga menjadi satu daripada tempat pembelajaran secara langsung kepada pelajar, mahasiswa dan sebagainya," katanya.
PIW mempunyai ekosistem tanah lembap yang terdiri tasik air tawar dan hutan paya gambut.
Berkeluasan 450.76 hektar, PIW diwartakan sebagai tapak perlindungan tanah lembap di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara pada 17 Feb 1998 oleh Selangor.
Kedudukan yang strategik dikelilingi bandar Dengkil, Cyberjaya dan Putrajaya menjadikannya destinasi utama ekopelancongan. - BERNAMA
#Paya Indah Wetlands #ekopelancongan #Selangor #gamuda lands
;