Pavithra tidak perlu bantuan sesiapa, tidak mahu diganggu - Exco Perak
Abd Razak Mohd Ali
Julai 27, 2020 19:39 MYT
Julai 27, 2020 19:39 MYT
Youtuber masakan terkenal S Pavithra, 28, tidak memerlukan bantuan mana-mana pihak termasuk kaunselor dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pengakuan itu dibuat Youtuber tersebut ketika pertemuan dengan wakil JKM di rumahnya di Sungai Siput 22 Julai lalu.
Menurutnya, Pavithra yakin dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dan dapat menguruskannya dengan sebaik mungkin.
"Ketika intervensi itu berlangsung beliau mengatakan tidak perlu bantuan dan bimbingan (dari JKM) setakat ini dan beliau yakin dapat menyelesaikan kemelut dan isu dihadapinya.
"Pihak JKM memaklumkan kepadanya bahawa dia boleh menghubungi kaunselor kita bila-bila masa yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Fasa Kedua di Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Warga Miskin Parit, (Bait Al Amin) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JKM Perak, Nortipah Majin dan Pengerusi Bait Al Amin, Razlan Zamzuri.
Mengulas lanjut, Wan Norshikin berkata, Pavithra juga meminta orang ramai, khususnya netizen supaya memberikan dia dan suami, M Sugu, 29, ruang yang secukupnya.
Pada 24 Julai, Sugu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dakwaan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit.
Selasa lalu, Pavithra mengakui memaafkan perbuatan suaminya itu.