Paus pilot sirip pendek dikesan di perairan Besut, mungkin buru sotong
Sharom Abu Bakar
Julai 26, 2019 10:05 MYT
Julai 26, 2019 10:05 MYT
Sekumpulan paus pilot sirip pendek “short finned pilot whale” atau nama saintifiknya globicephala macrorhynchus ditemui berenang berhampiran Pulau Perhentian di perairan Besut, Terengganu kira kira tiga puluh kilometer dari pantai.
Paus pilot sirip pendek tidak pernah melalui perairan Terengganu dan kemunculan mamalia itu adalah yang pertama direkodkan setakat ini.
Ketua Cawangan Mamalia Marin (FRI) Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, haiwan terbabit yang menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi ditemui sekumpulan nelayan Rabu lalu.
Menurut Tamimi, rakaman berdurasi 40 saat itu menunjukkan spesis terbabit bergerak dalam kumpulan antara 10 hingga ke 50 ekor.
Saiz haiwan berkenaan dianggarkan sepanjang tiga hingga tujuh meter dengan berat kira kira satu hingga tiga tan bagi dewasa, dan 60 hingga 500 kilogram bagi anak.
“Paus pilot sirip pendek biasanya hidup bergerak dan memburu dalam kumpulan populasinya antara 10 ekor sehingga mencapai 50 ekor. Ada juga sesetengah populasi boleh mencapai sehingga 200 ekor,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Menurut Tamimi, paus pilot sirip pendek adalah pemangsa dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dengan memburu ikan, sotong, penyu, burung laut dan hidupan lain.
“Mungkin oleh kerana perairan negeri Terengganu mempunyai banyak sotong sebab itulah spesis ini menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi mereka.
"Contoh seperti di perairan California Amerika Syarikat ketika musim sotong populasi paus pilot sirip pendek ini sangat banyak akan tetapi setelah sotong mula berkurangan, paus pilot sirip pendek ini tidak kelihatan dan bermigrasi mencari tempat baru,” katanya lagi.
Menurut Tamimi, paus pilot sirip pendek tersenarai dalam jadual mamalia marin, antara salah satu spesis marin terancam di Malaysia.
Paus pilot sirip pendek pernah ditemui mati terdampar di Sarawak pada 2013 dan di Labuan pada tahun 2015.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan Malaysia melindungi spesis-spesis ikan marin terancam melalui penguatkuasaan seksyen 27, Akta Perikanan 1985 mengenai mamalia akuatik atau penyu di perairan perikanan Malaysia dalam peraturan-peraturan perikanan (pengawalan spesis ikan yang terancam) 1999 (pindaan) 2019.
Manakala di peringkat antarabangsa , paus pilot sirip pendek antara spesis marin terancam di dunia dan dilindungi di bawah International Union For Conservation of Nature (IUCN).
#Amerika Syarikat
#Jabatan Perikanan Malaysia
#jumpa paus
#Ketua Cawangan Mamalia Marin
#Mohd Tamimi Ali Ahmad
#paus pilot sirip pendek
#perairan Besut
#short finned pilot whale