Paul Yong tiba di mahkamah untuk keputusan kes dakwaan rogol pembantu rumah

Abd Razak Mohd Ali
Disember 7, 2021 02:01 MYT
Sebelum memasuki mahkamah, Paul Yong sempat bertemu dengan para penyokongnya yang dikatakan telah menunggu sejak jam 8.30 pagi. - Astro AWANI
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mendengar keputusan sama ada beliau dilepaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia.
Beliau yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi.
Sebelum memasuki mahkamah, beliau bertemu dengan para penyokongnya yang dikatakan telah menunggu sejak jam 8.30 pagi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed dijadual menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan pada jam 10 pagi.
BACA: Keputusan kes Paul Yong didakwa rogol pembantu rumah diketahui esok
Pada 28 Sept 2021, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula 5 April lepas.
Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 16 Nov 2021.
Yong, 51 tahun, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.
Dia disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.
#Paul Yong Choo Kion #rogol #pembantu rumah #mahkamah