Paul Yong kontak rapat, perbicaraan kes rogol pembantu rumah ditangguh

Abd Razak Mohd Ali
Februari 15, 2022 12:08 MYT
Paul Yong didakwa merogol pembantu rumah di rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam dan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019. - Gambar fail
IPOH: Perbicaraan kes rogol melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, ditangguhkan hari ini.
Ia ekoran tertuduh perlu menjalani kuarantin kendiri kerana dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada adik iparnya yang positif COVID-19.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan dari peguam Datuk Rajpal Singh.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 16, 30 dan 31 Mac depan sebagai tarikh baharu perbicaraan.
Bercakap kepada media di luar mahkamah, Rajpal berkata, anak guamnya kontak rapat dengan adik iparnya yang disahkan positif COVID-19 pada 12 Feb lalu dan status di aplikasi MySejahteranya berubah menjadi warna jingga.
"Sebenarnya hari ini kita sedia hendak teruskan pembelaan dengan saksi pertama, Yong, dan saksi kedua, isterinya, dan ada dua lagi saksi. Itu kemungkinan besarnya.
"Namun, saya diberitahu oleh Yong pada Ahad, pada Tahun Baharu Cina yang lalu dia ada berjumpa adik ipar perempuan, iaitu adik kepada isterinya.
"Dan selepas itu, adiknya buat ujian saringan PCR pada malam 11 haribulan (Jumaat), dia telah beritahu, dia positif COVID-19.
"Seperti yang kita tahu, varian Omicron cepat merebak. Dan Yong pun ada sedikit simptom, dia selesema," kata Rajpal.
Mahkamah | Paul Yong kontak rapat, bicara kes rogol ditangguh
Sehubungan itu, katanya, Yong dan isterinya, Too Choon Looi perlu menjalani kuarantin di rumah.
Pada 7 Dis lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan ADUN Tronoh itu membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, pada 2019.
Hakim Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan perbicaraan selama dua hari pada 15 dan 16 Feb 2022.
Paul Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam dan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.
#Paul Yong #kes rogol #pembantu rumah #kes ditangguh
;