Paul Yong dakwa wujud muslihat politik

Abd Razak Mohd Ali
Mac 16, 2022 15:55 MYT
Paul Yong Choo Kiong dan isterinya, Too Choon Looi di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada Rabu. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Kes rogol melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang ditangguhkan pada 15 Februari lalu ekoran tertuduh perlu menjalani kuarantin kendiri disambung semula di Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Rabu.
Pihak pembelaan yang diketuai peguam Datuk Rajpal Singh mengemukakan dua saksi utama iaitu Paul Yong sendiri dan isterinya, Too Choon Looi, 46.
Paul Yong, 52, ketika ditanya Rajpal mendakwa tuduhan terhadapnya merupakan satu muslihat politik apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya menubuhkan kerajaan selepas mendapat majoriti tipis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Katanya, jika dua orang disingkirkan atau dijatuhkan, maka kerajaan PH yang mempunyai kelebihan hanya tiga kerusi Dewan Undangan Negeri akan turut tumbang.
Di samping itu, dakwanya, terdapat juga usaha untuk menjatuhkan seorang lagi Exco yang dikaitkan dengan kes rasuah.
Paul Yong turut mengaitkan kes itu sebagai muslihat politik kerana tarikh kejadian rogol yang didakwa pada 7 Julai 2019 juga terlalu dekat dengan majlis angkat sumpah penggal kedua dan ketika itu beliau merupakan seorang Exco.
ADUN Tronoh itu juga berpendapat, ada pihak yang iri hati dan cemburu terhadapnya kerana memegang lima portfolio iaitu kerajaan tempatan, perumahan, pengangkutan awam, hal ehwal bukan Islam dan Kampung Baharu.
Ditanya peguam sama ada mempunyai musuh politik, Paul Yong mendakwa setiap kali keluar pejabat atau balik rumah, beliau merasakan sentiasa diekori orang tidak dikenali.
Malah, katanya, jiran juga memberitahu ada kereta yang selalu berhenti di hadapan rumahnya, sebelum kejadian kes rogol yang dihadapinya.
Dakwa Paul Yong, isterinya juga menerima panggilan telefon yang mencurigakan beberapa hari sebelum kejadian kes berkenaan.
Sementara itu, isteri tertuduh, Too Choon Looi, memberitahu mahkamah bahawa dia yakin kejadian rogol itu tidak berlaku.
Ketika disoal balas Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi, Choon Lai berkata, dia tidak mereka-reka cerita semata-mata untuk mempertahankan suaminya.
Sebaliknya kata suri rumah itu, dia tidak akan mempertahankan suaminya jika melanggar undang-undang.
Perbicaraan bersambung 31 Mac depan.
Paul Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.
Wakil rakyat itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
#Paul Yong #tuduhan merogol #ADUN Tronoh #rogol pembantu rumah
;