Paul Stadlen lepaskan wang RM7.1 juta kepada 1MDB, kes pengubahan wang haram ditarik balik - SPRM

Bernama
Julai 30, 2021 14:08 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata wang itu akan dipindahkan ke akaun 1MDB. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kes bekas penasihat media Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas perdana menteri), Paul Stadlen yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, ditarik balik selepas beliau bersetuju melepaskan secara rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84 kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata wang itu akan dipindahkan ke akaun 1MDB.
Menurutnya berdasarkan persetujuan Jabatan Peguam Negara, satu penyelesaian telah dipersetujui melibatkan Stadlen dan penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) membabitkan wang berjumlah RM15 juta.
"Perkara itu diputuskan setelah mengambil kira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucut hak. Sehubungan itu, kes terhadap beliau (Stadlen) ditarik balik.
"Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tindakan kompaun di bawah Seksyen 92 (1) Akta 613 berjumlah RM590,587.26 dikenakan terhadap Mohd Hafarizam setelah mengambil kira serta mempertimbang alasan-alasan yang munasabah, termasuk lanjutan daripada penarikan balik kes terhadap Stadlen. Pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam ditarik balik setelah kompaun diselesaikan," menurut SPRM.
BACA: Penasihat Undang-Undang UMNO bebas tuduhan pengubahan wang haram RM15 juta
Pada 20 Feb 2019, pertuduhan terhadap Stadlen dibuat secara in absentia (tanpa kehadiran) di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh mengarahkan pembayaran melalui 16 transaksi hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM6,139,078.34 dari akaun pelanggan firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat di antara Januari hingga Ogos 2015.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Hari ini, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Mohd Hafarizam daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, yang didakwa diterima daripada Najib.
-- BERNAMA
#1MDB #Paul Stadlen #SPRM #Rasuah #1Malaysia Development Berhad #Malaysia #Peguam Negara #Mohd Hafarizam Harun #Najib Razak
;