Paul Low hadiri upacara penghormatan terakhir mendiang Morais
Bernama
September 26, 2015 08:50 MYT
September 26, 2015 08:50 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan malam tadi menghadiri upacara penghormatan terakhir mendiang Anthony Kevin Morais di Nirvana Memorial Centre di Sungai Besi di sini.
Upacara tiga hari itu, yang bermula semalam, bermula pada 10 pagi dan turut dihadiri oleh rakan rapat dan anggota keluarga mendiang.
Low, yang mewakili kerajaan, merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan Morais sebagai seorang yang mempunyai integriti.
"Mendiang (Morais) adalah seseorang yang mempunyai integriti hebat, sangat profesional dalam tugas dan saya percaya beliau akan menjadi contoh bagi kebanyakan kita yang berkhidmat dalam profesyen ini," kata beliau kepada pemberita.
Sementara itu, penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut menghadiri upacara itu berkata kematian tragis Morais tidak sepatutnya berlaku.
"Ini adalah satu daripada kes yang jarang berlaku dengan pegawai awam menjadi mangsa dan kami berharap keadilan dapat dilaksanakan dan mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman," katanya.
Mayat Morais dijumpai dalam sebuah tong drum berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah dekat sini pada 16 Sept.
Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept, dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke pejabat di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.