PAU2023: 'Janganlah dibunuh, ditebang pokok selepas nikmati hasilnya' - Mohamad Hasan
Ridauddin Daud
Jun 10, 2023 21:32 MYT
Jun 10, 2023 21:32 MYT
KUALA LUMPUR: Menggunakan analogi ‘pokok besar’, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan parti itu umpama pohon besar yang melindungi ahli dan pemimpin sejak dari dahulu.
Menurutnya, ramai juga sudah menikmati hasil, memakan buah daripada pohon besar itu namun ramai juga yang sudah tidak memerlukan pokok itu.
“Pokok yang besar ini, ramai dah makan buahnya, ramai dah nikmati hasilnya, ramai juga yang sudah tidak memerlukan lagi pokok ini.
“Tetapi janganlah yang telah pun menikmati hasil, telah berlindung dan membesar di bawahnya, kita nak bunuh dan tebang pokok ini.
“Ramai lagi anak cucu kita esok nak makan, anak cucu kita nak berteduh. Jadi, tugas kita, mari kita siram pokok yang melindungi kita selama ini dan yang telah pun memberikan buah-buahan untuk kita makan dan hidup.
“UMNO ini pokok yang besar, tempat kita berlindung, tempat kita menaruh harapan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
Tambah beliau, UMNO sudah dihukum, kalah dua kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Umum (PRU), merosot sudah sokongan kepada parti itu.
Justeru, tegasnya, UMNO tiada pilihan lain tetapi untuk bangun semula dan sediakan parti yang lebih baik untuk generasi masa depan.
“Kita berhutang kepada generasi masa depan Melayu, anak bangsa kita. Maka hutang ini perlu kita selesaikan semasa kita memegang jawatan waima di peringkat mana pun.
“Jika tidak, maka kata orang-orang tua, kita umpama melukut di tepi gantang, anak cucu kita akan berdagang di tanah air sendiri,” ujarnya.
Mohamad turut menasihatkan kepimpinan UMNO agar tidak berselisih faham antara satu sama lain.
“Elakkan berselisih faham dan membuat kenyataan yang boleh mengelirukan orang.
“Rundingan jangan berselisih faham, muafakat jangan bercanggah. Muafakat itu punca sengketa dan sengketa itu punca celaka,” tegasnya.