PAU2021: 'UMNO tidak mahu ganggu urusan bubar Parlimen, tetapi nak tunggu apa lagi?'
Fareez Azman
Mac 18, 2022 11:10 MYT
Mac 18, 2022 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti sentiasa menjunjung Perlembagaan Negara dalam konteks pembubaran Parlimen dan tidak mahu menganggu urusan berkenaan.
Ujarnya, ia merupakan kuasa Perdana Menteri dan Barisan Kabinet sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan Negara. Kita faham bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet, di mana Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri," jelasnya dalam ucapan dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Tambah Ahmad Zahid, melihat situasi semasa, ia terpulang kepada Perdana Menteri untuk melihat perkara itu.
"Apabila mood dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke arah kita, nak tunggu apa lagi?
"Bak kata Timbalan Presiden, 'buek apo lamo lamo nak tunggu, takut anak daro dicuri orang'," katanya lagi.
Mengulas lanjut berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dan pihak pembangkang, jelas Ahmad Zahid, ia merupakan muslihat pembangkang.
"Dalam legenda 'Helen of Troy', seorang wanita telah menghancurkan sebuah negara dari dalam.
"Kita seharusnya sedar bahawa lawan-lawan kita itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan kita.
"Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita," jelasnya lagi.
Malah ujar Presiden UMNO itu, pembangkang tidak pernah menyukai UMNO, sebaliknya parti keramat itu perlu berhati-hati.
"Mereka tidak pernah sukakan kita! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah!
"Kita sedang tidur dengan musuh kita. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi?," jelasnya lagi.