PAU2021: Perhimpunan kali ini lahirkan kluster kasih dan sayang dalam kalangan ahli - Reezal Merican

Fareez Azman
Mac 18, 2022 15:54 MYT
Jelas Reezal, meskipun pelbagai label dilontarkan, parti keramat itu sebaliknya lebih tekad untuk menjadi parti dominan menjelang PRU15. - Facebook Reezal Merican Naina Merican
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 melahirkan kluster kasih dan sayang dalam kalangan ahlinya.
Mengulas lanjut ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), jelas Reezal, meskipun pelbagai label dilontarkan, parti keramat itu sebaliknya lebih tekad untuk menjadi parti dominan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
"Apatah lagi apabila disebut amat jelas oleh Presiden, bahawa perlu keseiringan sinergi antara parti dan kerajaan. Kepercayaan diberikan secara bulat kepada Perdana Menteri untuk menerajui kerajaan. Paling penting perwakilan akan berbahas selepas ini perlu membulatkan perkara ini.
"Orang dok cerita UMNO macam-macam kluster mahkamah lah, kluster kalah dan menang lah, tapi saya harap daripada perbahasan ini akan terzahir kluster kasih dan sayang dalam membentuk satu tekad membina kerajaan stabil yang jauh lebih dominan bagi parti UMNO dalam PRU15 nanti," ujarnya.
Tambah Reezal, rombakan yang dibuat Ismail Sabri sejurus memegang jawatan sebagai Perdana Menteri juga adalah demi mendapatkan keyakinan rakyat serta memperkukuhkan parti itu.
"Alhamdulilah takdir, apabila Perdana Menteri datang daripada UMNO, ini peluang terbaik dan saya lihat Datuk Seri Ismail Sabri membuat satu rombakan untuk memperkukuhkan parti.
"Kementerian Pembangunan Luar Bandar diserahkan kepada Menteri UMNO, saya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, begitu juga beberapa kementerian termasuk KKM masih berada di bawah tanggungjawab Menteri UMNO.
"Kalaulah ambil semua sembilan kementerian ini, saya fikir kalau ambil dari bajet RM33.2 billion (Belanjawan), lebih satu pertiga peruntukan belanjawan dibawah Kementerian diterajui Menteri UMNO," kata Reezal lagi.
Justeru katanya, sudah tentu menjadi fokus setiap menteri dari UMNO untuk memastikan rakyat terbela selepas pentadbiran 22 dan 17 bulan kerajaan terdahulu.
"Begitulah kepercayaan diberikan YAB PM sekali gus memperkasakan parti. Kalau Menteri UMNO buat kerja dengan elok dan menyelesaikan masalah rakyat, nama baiknya adalah kepada PM dan juga Menteri dari UMNO.
"Termasuk KWSP, ini menunjukkan PM mendengar rintihan dan juga permintaan daripada parti dia sendiri dengan pertimbangan dia lihat kewajaran untuk beliau tunaikan," ujarnya lagi.
#UMNO #Reezal Merican Naina Merican #kerajaan #PAU2021
;