PAU 2023: "Mana pergi RUU355?" - Zahid Hamidi

Ridauddin Daud
Jun 9, 2023 10:57 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan perjuangan agenda Rang Undang-Undang 355 (RUU355) yang sebelum ini banyak kali dibangkitkan.
Berucap pada Ucapan Dasar Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023), beliau turut mengimbau kenyataan pernah ‘dikafirkan’ kerana hukum hudud.
Begitupun, tegasnya, ketika berada dalam kerajaan, dikeluarkan pula kenyataan hudud bukan keutamaan.
Dalam ucapan sama, Zahid turut berkongsi firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-41 berserta maksudnya.
“Dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertakwa.
“Peringatan Allah ini, cukup untuk menggambarkan golongan yang memperdagangkan ayat-ayat Allah, berselindung di sebalik kepentingan politik sempit mereka.
“Benarlah, mereka adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti ini seolah-olah, menjadi pemegang neraca, di yaumul mahsyar. Nauzubillah,” katanya dalam ucapan tersebut.
Meskipun tidak menyebut mana-mana parti namun kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Pas.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa, parti itu juga gegak gempita dan cuba menjadi juara dalam isu kalimah Allah dengan menyelewengkan fakta kononnya kerajaan hari ini, telah menggadai kalimah Allah.
“Hakikatnya, pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun.
“UMNO dan wakil kita di dalam Kabinet, walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan, dengan tegas menyatakan kalimah Allah tidak boleh digunapakai oleh agama lain.
“Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan.
“Berbanding dengan mengkarung politik yang menunggang agama suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah,” ujar beliau lagi.
Tegasnya, apa pun hujah diberikan, yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana.
“Melayu dan Islam bagi mereka, hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik,” katanya.
#PAU 2023 #Rang Undang-Undang 355 #Zahid Hamidi #Presiden UMNO
;