PAU 2023: Keputusan pemilihan bukti demokrasi subur dalam UMNO - Ahmad Zahid
Ridauddin Daud
Jun 9, 2023 10:40 MYT
Jun 9, 2023 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah pemimpin muka baharu dalam pemilihan parti baru-baru ini membuktikan amalan demokrasi terus hidup dan berjalan dengan baik dalam UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga memperlihatkan proses peremajaan parti dan usaha mempersiapkan barisan kepimpinan pelapis, sentiasa subur di dalam UMNO.
“Melalui pemilihan parti kali ini, sebanyak 36 peratus Ketua-Ketua UMNO Bahagian adalah daripada kalangan muka-muka baharu.
“Ini menjadikan 72 peratus Ketua UMNO Bahagian, terdiri daripada mereka yang memegang jawatan Ketua Bahagian tidak melebihi 10 tahun.
“Komposisi ini menghasilkan gandingan mantap muka baharu dan yang berpengalaman. dalam memahami kehendak politik semasa,” katanya.
Tambah beliau, perubahan kepimpinan di peringkat Timbalan Ketua Bahagian pula, sebanyak 66 peratus adalah muka-muka baharu dan Naib-Naib Ketua Bahagian pula sebanyak 73 peratus.
Beliau berkata demikian pada Ucapan Dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.
Tambah Ahmad Zahid, pemimpin datang dan pemimpin pergi adalah tradisi dalam parti keramat kita ini.
Tegasnya, patah tumbuh, hilang berganti.
“Yang lama dan berpengalaman terus mencurah bakti, yang baharu datang dengan nafas segar saling melengkapi.
“Yang baharu menghormati yang lama, yang lama pula menyayangi yang baharu. Itulah indah dan tertibnya perjalanan parti kita,” ujarnya.