Patut beri 20 sen pada pelanggan yang bawa beg sendiri - Noh Omar

Dania Zainuddin
Februari 18, 2018 14:35 MYT
Pelanggan nak beg plastik perlu bayar 20 sen. Kalau bawa sendiri? - Gambar hiasan
Kempen bebas plastik yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri dilihat gagal dan satu dasar yang menyusahkan rakyat.
Menteri Kesejahteraan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mempersoalkan ke mana pergi caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dibayar pelanggan.
"Ya, kempen ini gagal. Kalau kita lihat, sampah dan plastik semakin banyak.
"Rakyat nak tahu ke mana pergi duit 20 sen? Kita tahu duit 20 sen itu tidak masuk dalam resit.
"Ini dasar yang menyusahkan rakyat. Sepatutnya kalau nak galakkan penggunaan beg, pasar raya perlu bayar 20 sen kepada mereka yang membawa beg sendiri. Ini baru adil," katanya," kata Noh Omar ketika ditemui dalam Program Kembara Motosikal, di sini, hari ini.
Noh Omar juga tidak nafikan penggunaan plastik ini adalah punca masalah sampah dan pencemaran ekosistem, namun beliau yakin satu pelaksanaan kempen yang lebih baik boleh dicapai.
Dalam pada itu, Noh Omar menekankan dasar baharu kempen bebas plastik akan diperkenalkan jika parti Barisan Nasional menang pada pilihan raya akan datang.
Pada Sabtu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menyifatkan kempen bebas plastik di negara ini gagal.
Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata masih ramai pengguna menggunakan plastik selain para peniaga turut menawarkan beg plastik.
BACA: Mana duit 20 sen kami? - PEKA dakwa kempen bebas plastik gagal
Beberapa negeri telah memulakan inisiatif tanpa beg plastik seperti di Selangor, Perak dan Melaka sejak beberapa tahun lalu secara berperingkat.
Malah, kerajaan negeri Selangor telah mengutip RM1.87 juta daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik sejak melaksanakan kempen 'Bebas Beg Plastik' bermula 1 Januari hingga 31 Mei 2017.
Artikel berkaitan:
BACA: RM1.87 juta dikutip daripada caj beg plastik di Selangor
BACA: Selangor bebas beg plastik dan polistirena mulai 2017
#bebas plastik #dasar #kempen #Noh Omar #PEKA #pelaksanaan #pencemaran #sampah sarap
;