Patut atau tidak gaji minimum dinaikkan sekarang? Dialog Tiga Penjuru, 8.30 malam ini

Israr Khalid
Februari 17, 2022 18:37 MYT
Dapatkah titik tengah antara tuntutan MTUC dengan MEF ditemukan demi manfaat seluruh negara?
KUALA LUMPUR: Ketika harga barang naik, rakyat mahu gaji mereka turut naik untuk disesuaikan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Namun ini bukan soal mudah.
Polemik tentang menaikkan kadar gaji minimum ini bermain sejak sebelum era pandemik COVID-19 lagi. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mewakili pekerja seluruh negara konsisten dalam menuntut kenaikan itu sebagai langkah menambah baik mutu kehidupan pekerja di negara ini.
Namun ia selalunya akan disanggah oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang menegaskan bahawa keadaan ekonomi yang belum cukup kuat tidak menggalakkan ia dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500.
Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan yang penetapan gaji minimum yang baharu, yang belum dimuktamadkan jumlahnya tapi dijangka masih RM1,500, akan dilaksanakan sebelum tiba hujung tahun ini.
Maka kita saksikan MTUC dengan MEF kembali hangat ‘bertikam lidah’. Di pihak MTUC, mereka mengatakan bahawa Malaysia sepatutnya melaksanakan dasar tersebut dari dahulu lagi.
Dikatakan Malaysia ketika ini masih membayar gaji minimum pada kadar 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negara, sedangkan di Indonesia dan Filipina masih-masing membayar gaji pekerja sebanyak 84 dan 76 peratus di bandar-bandar utama mereka.
Namun dalam keadaan ekonomi hari ini yang masih bergelut untuk pulih daripada dipukul pandemik selama dua tahun serta dilanda banjir besar tempoh hari, MEF bertegas bahawa banyak syarikat yang tidak mampu untuk berbuat demikian dan katanya akan menyebabkan lebih banyak perusahaan ‘gulung tikar’.
Pada masa sama, MEF turut menyatakan bahawa pekerja asing yang akan mendapat manfaat yang lebih daripada pekerja warganegara dan aliran duit keluar negara akan bertambah, ketika kita memerlukannya untuk ‘berpusing’ dalam negara dahulu ketika fasa pemulihan ini.
Jadi mana satu yang betul? Tuntutan pihak mana yang lebih mustahak? Mungkin tiada siapa yang lebih benar, tetapi mampukah kita mencari titik tengah antara kedua-duanya supaya akhirnya nanti manfaatnya tidak hanya dinikmati pekerja mahupun majikan, tetapi negara secara keseluruhannya.
Malam ini kami tampilkan wakil dari kedua-dua pihak; bekas Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor; Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan; juga disertai oleh penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Mohd Yusuf Saari.
Dialog Tiga Penjuru: Debat Seribu Lima Ratus, malam ini jam 8.30 hanya di saluran 501 dan strim di astroawani.com.
#Dialog Tiga Penjuru #gaji minimum #MTUC #MEF
;