Patuhi undang-undang antarabangsa apabila hantar kapal ke Laut China Selatan - Jen Angus Campbell

Bernama
Oktober 3, 2023 21:56 MYT
Angus berkata negaranya akan terus berada di kawasan berkenaan dengan beroperasi mengikut lunas undang-undang. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Pertahanan Australia Jen Angus Campbell hari ini menyeru negara-negara yang menghantar kapal dan pesawat mereka ke kawasan Laut China Selatan, supaya mematuhi undang-undang antarabangsa.
Beliau yang mengakui bahawa Australia dan beberapa negara lain sudah berada di persekitaran rantau berkenaan sejak berdekad lamanya berkata, negaranya akan terus berada di kawasan berkenaan dengan beroperasi mengikut lunas undang-undang.
"Selesaikan sebarang isu atau pertikaian yang mungkin timbul secara aman dan berlandaskan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa, yang menjadi asas bagi sesebuah negara untuk berasa selamat, dan membina kemakmuran dalam rantau yang kita komited sepenuhnya.
"Ketua-ketua Angkatan Pertahanan Negara-negara Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) kekal komited, dan memberi tumpuan penuh kepada kerjasama antara negara kita demi kepentingan keselamatan di Malaysia dan di rantau ini," katanya semasa sidang media berhubung FPDA, di sini hari ini.
Angus berkata demikian semasa mengulas pandangan Australia berhubung kebimbangan mengenai keselamatan dan pelbagai tuntutan ke atas perairan Laut China Selatan khususnya oleh negara China yang telah menempatkan kapal mereka di sekitar perairan Malaysia, khususnya di Beting Patinggi Ali, serta pandangan FPDA mengenai perkara itu.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata negara-negara ASEAN khususnya Malaysia menekankan kepentingan kesatuan pemusatan ASEAN dalam menangani isu yang sama.
Konsep pemusatan ASEAN, seperti yang dinyatakan dalam Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik, secara umum menekankan bahawa ASEAN mesti menjadi platform serantau yang dominan untuk mengatasi cabaran bersama dan melibatkan diri dengan kuasa luar.
Jun lepas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan sedar mengenai kehadiran kapal asing yang berada di kawasan itu 24 jam sehari, sepanjang masa, namun Malaysia tidak pernah berdiam diri berhubung perkara itu.
Katanya kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan negara di medan gas di Beting Patinggi Ali serta Kasawari di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Laut China Selatan seperti yang diiktiraf di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS 1982).
Beting Patinggi Ali, yang terletak 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (khususnya di Tanjung Baram), Sarawak telah dijelaskan oleh Kementerian Pertahanan sebagai milik Malaysia, dan pihak kementerian tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak.
Bagaimanapun Mohamad pada 25 Jan lepas berkata Malaysia tidak menganggap kehadiran kapal pengawal pantai China yang dilihat di kawasan itu awal tahun ini sebagai pencerobohan kerana ia merupakan kawasan bertindih.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #ASEAN #Laut China Selatan #kapal pengawal pantai
;