Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Sri Khalid Abu Bakar berharap agar kesemua 235 Agensi Polis Bantuan dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan keselamatan bilik kebal atau stor penyimpanan senjata api.

Keselamatan penyimpanan senjata api merupakan aspek penting yang perlu diawasi kerana selain tempat awam, anggota polis termasuk polis bantuan juga boleh menjadi sasaran pengikut kumpulan pengganas (Daish).

“Kita tahu bahawa kumpulan Daish ini mensasarkan untuk melancarkan serangan bukan sahaja di tempat awam malah kepada anggota polis, termasuk polis bantuan.

“Polis bantuan juga dinasihatkan supaya berhati-hati kerana mereka juga boleh dijadikan sasaran termasuk tempat simpanan senjata api yang diberi keutamaan dalam memastikan keselamatan senjata api tidak tergugat dan tidak jatuh kepada musuh-musuh seperti penyokong Daish,” jelas Khalid dalam sidang media pada Persidangan Polis Bantuan ke-28 di Senai, Johor.

Sehubungan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengatur beberapa pasukan Naziran dari Unit Perlesenan Senjata Api, untuk turun padang dan memantu serta menilai tahap keselamatan dan pematuhan terhadap penggunaan senjata api oleh Agensi Polis Bantuan.

Kumpulan Naziran juga akan memastikan semua SOP dipatuhi terutama dari segi penyimpanan dan juga penjagaan.