Patuhi SOP, jangan ada aktiviti ngabang ketika Gawai - Dr Annuar
Astro Awani
Mei 23, 2021 14:48 MYT
Mei 23, 2021 14:48 MYT
SIBU: Masyarakat Dayak yang bakal menyambut sambutan Hari Gawai khususnya di Sibu diingatkan untuk tidak melakukan aktiviti kunjung-mengunjungi atau ngabang ketika sambutan perayaan itu.
Ini kerana, peningkatan kes positif yang direkodkan di Sarawak pada Sabtu adalah disumbang oleh aktiviti kunjung-mengunjungi ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Dr Annuar Rapaee berkata, larangan itu terpaksa dilakukan bagi mengurangkan penularan pandemik COVID-19.
“Saya terpaksa menyatakan dengan jelas kerana salah satu sebab berlaku peningkatan kes adalah kerana pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, masih ada melakukan aktiviti kunjung-mengunjung.
‘’Jadi untuk perayaan Hari Gawai saya meminta masyarakat yang meraikan perayaan ini supaya berfikir sedalam-dalamnya bahawa aktiviti sebegini boleh menyebabkan kes kita terus meningkat,” jelasnya menerusi siaran langsung di Facebooknya pada Sabtu.
Tambahnya jika masyarakat masih degil, pastinya akan berlaku peningkatan kes seterusnya memberi kesan kepada petugas barisan hadapan.
Ini kerana mereka perlu berdepan dengan masalah kesesakan di hospital mahupun Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) disebabkan jumlah katil yang tidak mencukupi.
“Justeru masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalan membantu mengelakkan peningkatan kes berlaku.
“Kita amat khuatir apabila kes-kes yang melibatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bertembung dengan kes yang dilaporkan semasa sambutan Hari Gawai.
“Sekiranya ini berlaku, pastinya ia akan menyebabkan penggunaan fasiliti terus bertambah dan pasti akan terus membebankan petugas barisan hadapan terutama di hospital,” tambahnya.
Patuh SOP | Jangan lakukan aktiviti Ngabang ketika Gawai
Pada Sabtu, Sarawak melaporkan pertambahan 749 kes positif baharu dengan sejumlah 446 atau 59.55 peratus dikesan di daerah Kuching, Sibu, Miri dan Mukah.
Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pergerakan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi punca peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.
#COVID-19 di Sarawak
#kes tertinggi di Sarawak
#Sambutan Hari Raya Aidilfitri
#peningkatan kes di Sarawak
#sambutan Hari Gawai
#larangan sambutan perayaan
#SOP perayaan di Sarawak'