Patuhi arahan polis dan undang-undang pilihan raya - KPN

Bernama
Julai 23, 2013 07:25 MYT
Pengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diminta mematuhi arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak melanggar undang-undang pilihan raya bagi memastikan proses pengundian esok berjalan lancar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Saya harap pengundi berdaftar keluar awal untuk tunaikan tanggungjawab. Kita jamin keselamatan dalam keadaan terbaik dan terkawal dan tiada sebab untuk untuk tidak keluar mengundi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Markas Taktikal Polis (MARTEK) di sini Selasa.
Katanya PDRM juga telah bersiap sedia dan menjangka ramai penyokong kedua-dua parti yang bertanding dari luar datang ke Kuala Besut.
Pilihan raya kecil Kuala Besut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.
Ditanya mengenai rang undang-undang baharu menyamai Ordinan Darurat 1969 (EO), Khalid berkata PDRM masih berbincang dengan Jabatan Peguam Negara berhubung keperluan perundangan itu memandangkan ia sangat penting dalam menangani dan membendung jenayah.
"Saya rasa sudah cukup baiknya kita bercakap buruk baik EO ini. Ia (perkembangannya) akan diumumkan tidak lama lagi. Biarlah polis dengan Jabatan Peguam Negara berunding dengan baik," katanya.
Awal bulan ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sedang berbincang dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung draf rang undang-undang baharu itu berkata, ekoran pemansuhan Ordinan Darurat 1969, lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan dan mereka kembali melakukan aktiviti jenayah.
#Kuala Besut #pilihan raya kecil #polis #SPR
;