Patin sangkar di Kampung Lebak jadi pilihan warga asing
Bernama
April 1, 2017 09:27 MYT
April 1, 2017 09:27 MYT
Selalunya ikan patin sangkar menjadi kegemaran orang Melayu terutama di kawasan Pahang barat seperti di daerah ini yang menerima jolokan bandar ikan patin.
Namun kini, ikan patin sangkar itu bukan sahaja menjadi makanan pilihan orang Melayu semata-mata kerana ia turut digemari rakyat dari luar negara yang bekerja di Malaysia lebih-lebih lagi juadah patin masak tempoyak.
Seorang pengusaha ikan sangkar sungai di Kampung Lebak dekat sini, Wan Mohd Sofian Wan Husain, 53, berkata warganegara asing yang bertugas di kedutaan seperti Bangladesh, Kenya, Jerman dan Poland sering mengunjungi gerainya untuk membeli ikan itu antara 40 hingga 50 ekor bagi setiap pembelian.
"Sejak dua tahun saya menjual patin sangkar di gerai saya ini, boleh dikatakan setiap sebulan sekali mereka (kakitangan kedutaan asing) akan datang beli ikan pati sangkar antara RM700 hingga RM800 setiap kali beli.
"Ada juga yang beli ikan sangkar lain seperti tilapia, baung dan keli tetapi patin tetap menjadi pilihan utama mereka untuk dibuat masak tempoyak juga," katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya di Kampung Lebak dekat sini baru-baru ini.
Wan Mohd Sofian yang sudah tujuh tahun menternak ikan patin sangkar berkata dia difahamkan warganegara asing itu mengetahui bekalan ikan sangkarnya menerusi laman sosial Facebook yang dimuat naik olehnya sendiri sebagai antara medium untuk memasarkan ikan sangkarnya.
Selain itu, dia yang juga pembekal ikan patin berkata difahamkan gerainya menjadi pilihan warganegara asing yang sanggup datang dari Kuala Lumpur itu kerana ikan patin sangkarnya berkualiti tinggi menurut pandangan dan penilaian mereka.
"Saya amalkan kebenaran dan kepercayaan apabila berurusan jual beli patin dengan kedutaan luar ini. Saya akan pastikan patin sangkar yang benar-benar berkualiti untuk dijual kepada mereka.
"Ini yang akan melahirkan kepercayaan mereka terhadap kualiti patin sangkar saya hingga menjadikan mereka datang berulang kali membeli patin sangkar yang saya jual ini," katanya.
Wan Mohd Sofian yang turut menjual patin pekasam diperbuat daripada beras itu berkata aspek kualiti yang diutamakan itu mampu mempromosikan patin sangkar ke peringkat antarabangsa secara tidak langsung yang sekali gus boleh menjayakan lagi Tahun Melawat Pahang 2017.
-- BERNAMA
#ikan patin
#kulinari
#masak lemak tempoyak
#masakan melayu
#patin sangkar
#temerloh
#Wan Mohd Sofian Wan Husain
#warga asing