'Patik minta ampun, patik derhaka...'
Sinar Harian
September 12, 2019 06:00 MYT
September 12, 2019 06:00 MYT
Selepas dikecam kerana menjadi penyebab kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menutup akaun Twitter baginda, seorang pengguna laman sosial itu dengan nama @frdsasrf membuat permohonan maaf semalam.
Pengguna Twitter itu, Firdaus Asraf membuat status ‘Warkah Memohon Ampun Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah’ sambil disusuli dengan ucapan permohonan maaf.
Awal pagi Khamis, netizen menzahirkan rasa terkejut selepas Raja Permaisuri Agong bertindak menyahaktifkan akaun Twitter baginda, @cheminahsayang.
Tidak dapat dipastikan mengapa Raja Permaisuri Agong bertindak menutup akaun Twitternya namun beberapa individu dikenal pasti antaranya Firdaus Asraf.
Tindakan pengguna Twitter itu turut mendapat respons bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Musa menegaskan, tindakan tegas perlu diambil polis termasuk menahan individu terbabit di bawah Akta Hasutan bagi mengelakkan golongan 'kurang ajar' ini terus 'naik lemak'.
Menurutnya, golongan tidak menghormati institusi diraja ini sebenarnya sudah 'dicuci otak' oleh pihak tertentu untuk membenci institusi diraja sekali gus tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
#akta hasutan
#Firdaus Asraf
#institusi diraja
#kurang ajar
#laman sosial
#mohon maaf
#Musa Hassan
#polis
#Raja Permaisuri Agong
#Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
#tutup akaun
#Twitter