PATI menyorok dalam hutan untuk balik beraya dicekup

Bernama
Mei 24, 2019 04:40 MYT
Ada pendatang tanpa izin mengakui terpaksa menggunakan 'laluan belakang' selepas ditipu ejen yang menguruskan pasportnya. - Gambar hiasan
Sanggup menyorok di dalam hutan selama tiga hari untuk balik ke kampung halaman, namun kecekapan pasukan penguatkuasa, akhirnya dapat mengesan dan menahan 74 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia.
Kesemua PATI terdiri daripada 57 lelaki dewasa, 15 perempuan dewasa serta dua kanak-kanak lelaki, yang kesemuanya berumur antara 11 bulan hingga 53 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 23 batu nautika selatan Pulau Jarak, dekat sini kira-kira pukul 1.50 petang Khamis.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata bot dinaiki pendatang tanpa izin itu dikesan Kapal Maritim (KM) Marlin yang diketuai Pegawai Memerintah Wanita Pertama Maritim Malaysia Leftenan Maritim Aida Arzahari.
"Warga asing itu dipercayai sudah menunggu lebih awal di kawasan paya bakau di Hutan Melintang sebelum bot tiba untuk membawa mereka ke Pelabuhan Tanjung Balai, Indonesia, dan ketika ditahan bot baru sahaja belayar enam jam," katanya dalam satu sidang media di sini, pada Jumaat.
Wan Mat berkata semasa dipintas, seorang tekong dan dua kru bot terjun ke laut untuk melarikan diri sehingga memaksa KM Marlin membuat pencarian mangsa, namun kedua-duanya gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Jumaat.
"Pemeriksaan awal mendapati kesemua pendatang tanpa izin itu bersembunyi dalam petak-petak bot yang dijadikan tempat persembunyian semasa pelayaran," katanya.
Wan Mat berkata hasil maklumat mendapati kesemua pendatang tanpa izin tersebut datang dari Perak, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur dan dengan bayaran untuk balik ke kampung halaman sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 seorang.
"Kita juga mengesyaki bot tersebut diuruskan sindiket warga tempatan, dan juga warga Indonesia yang menetap di negara ini," katanya.
Katanya, bot pendatang tanpa izin itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
Sementara itu, seorang pendatang tanpa izin, Jefri Irawan, 31, berkata dia terpaksa menggunakan 'laluan belakang' tersebut selepas ditipu ejen yang menguruskan pasportnya beberapa bulan lalu.
Jefri yang berasal dari Tanjung Balai berkata dia kemudian mengikut rakannya untuk menggunakan laluan tersebut dengan bayaran RM1,000 yang dikumpulnya hasil bekerja sebagai pencuci di Petaling Jaya.
"Sedihlah sepatutnya kami sampai ke Indonesia awal pagi tadi, dan saya telah berjanji dengan ibu saya untuk pulang selepas hanya sekali pulang bersama mereka sejak bekerja dua tahun lalu," katanya.
-- BERNAMA
#beraya #bot #ditipu ejen #hutan #Imigresen #Indonesia #kampung halaman #kawasan paya bakau #laluan belakang #mangsa #menyorok #operasi #pasport #pati #pendatang asing #Penguatkuasa #sembunyi #sindiket #warga asing
;