PATI jadikan kondominium di Putrajaya sebagai asrama diserbu

Sinar Harian
Februari 6, 2024 09:40 MYT
Seramai 25 PATI ditahan dalam operasi di sebuah kondominium di Putrajaya, pada Selasa. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Sangkaan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendiami kondominium di kawasan elit di Presint 8, di sini, kononnya tidak mungkin diserbu pihak berkuasa meleset selepas kediaman itu digempur, pada Selasa.
Serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hasil aduan penduduk dan risikan beberapa hari.
Ketika diserbu, didapati PATI ini sedang tidur sebelum dikejutkan dengan ketukan pintu pasukan operasi.
Lebih memeranjatkan, terdapat unit kondominium yang didiami PATI itu lengkap dengan dekorasi selain difahamkan kawasan itu turut didiami oleh orang kenamaan (VIP) serta penceramah terkenal.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 127 individu telah diperiksa di 47 unit rumah di empat blok berketinggian 21 tingkat.
Menurutnya, hasilnya seramai 25 PATI termasuk dua wanita berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen seperti tinggal lebih masa dan salah guna pas kerja.
"Tangkapan terdiri daripada 13 warga India, Indonesia (6), Pakistan (3), Myanmar (2) dan seorang Filipina yang rata-ratanya bekerja di restoran di sekitar Putrajaya.
"Siasatan awal mendapati sewaan unit rumah dibayar oleh majikan berharga RM2,500 dan didiami lima hingga 10 orang dengan kemudahan katil dua tingkat seperti asrama," katanya kepada pemberita di lokasi operasi pada Selasa.
Tambahnya, pemeriksaan ini adalah sebahagian bagi memastikan warga asing dalam negara memiliki dokumen sah selain mengenal pasti majikan yang menggajikan PATI.
Ujarnya, mana-mana pihak diingat untuk tidak menggajikan PATI kerana tindakan boleh diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Mengulas lanjut, kata Ruslin, pada tahun ini setakat 2 Februari, sebanyak 1,437 operasi dilaksanakan seluruh negara dengan pemeriksaan 17,348 warga asing sebelum tangkapan seramai 4,891 PATI serta tindakan ke atas 40 majikan.
"JIM turut bertindak mengusir seramai 3,622 PATI pada tahun setakat 1 Februari," ujarnya. - Sinar Harian
#pati #kondominium #asrama #JIM
;