PATI diberkas ketika leka membeli-belah

Abd Razak Mohd Ali
Mac 28, 2021 17:42 MYT
Sejumlah 29 orang telah ditangkap melibatkan 26 lelaki dan tiga orang perempuan atas kesalahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. - Astro AWANI
IPOH: Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga wanita ditahan dalam Operasi Bersepadu di Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Dato Onn Jaafar dan Pasar Karat Ipoh (Loken), di sini, hari ini.
Operasi bermula 11 pagi itu melibatkan 142 pegawai dan anggota polis, Jabatan Imigresen Perak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, operasi dijalankan di kawasan yang sering menjadi tumpuan mereka untuk mencari barang keperluan dan terpakai di pasar karat pada hujung minggu, selain melakukan urusan kewangan.
“Pada operasi hari ini, kita dah membuat pemeriksaan di lokasi. Lebih kurang 300 warganegara dan daripada itu 72 telah kita bawa balik (ke balai) untuk membuat pemeriksaan.
“Daripada pemeriksaan yang dibuat oleh pihak Imigresen, 29 orang telah ditangkap melibatkan 26 lelaki dan tiga orang perempuan atas kesalahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas operasi itu di Ipoh, pada Ahad.
Hadir sama Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik dan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak, Hapdzan Husaini.
Menurut A Asmadi, kesemua mereka yang berasal dari pelbagai negara itu disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63.
Pada masa sama, polis turut menjalankan pemeriksaan di premis-premis yang didakwa dijalankan oleh warga asing.
Pemeriksaan yang dijalankan MBI mendapati premis tersebut mempunyai lesen yang sah dan pemilik telah menggajikan pekerja asing terutama warga Nepal.
Polis akan meneruskan operasi seumpama itu secara berkala di kawasan yang didominasi warga asing.
#pati #pendatang asing tanpa izin #operasi bersepadu #PDRM #polis #Imigresen #JIM #Ipoh #Pasar Karat #KPDNHEP #MBI #KDN #A Asmadi Abdul Aziz
;